Malaysia Dateline

Kenapalah kamu letak jawatan, buatlah darurat Conte, kata bekas timb menteri

Perdana Menteri Italy, Giuseppe Conte, sepatutnya tidak meletakkan jawatannya walaupun hilang majoriti kerana negara itu boleh membuat darurat sebagaimana Malaysia, kata bekas timbalan menteri.

Itulah sindiran bekas Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maiden (gambar) ketika mengulas mengenai tindakan Perdana Menteri Itali meletakkan jawatan itu.

“Apa lah dia pi letak jawatan. Patutnya tak perlu letak jawatan dan buat darurat je di Itali dan lepas tu gantung Parlimen Itali.

“Rasanya di sana mungkin lagi mudah nak buat darurat kot,” sindir Hanipa dalam satu kenyataan di facebook beliau.

Selepas membuat darurat, kata ahli parlimen Sepang itu, sepatutnya Perdana Menteri Itali itu meminta mana-mana pemimpin agama mereka mengesahkan tindakan mereka.

“Lepas tu mu – PM Itali – cari lah para agamawan di sana untuk cari dalil untuk pertahankan tindakan kamu tu,” cadang Hanipa kepada Conte.

Dua hari lepas, Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte mengumumkan peletakan jawatannya berkuatkuasa hari itu juga selepas gabungan pakatan yang mentadbir Itali sebelum ini berdepan perpecahan sejak bekas Perdana Menteri, Matteo Renzi meninggalkan partinya, Italia Viva pada 13 Januari lalu.

Conte ‘bertahan’ dengan undi percaya di Parlimen minggu lalu tetapi gagal mendapatkan majoriti di Senat, sekali gus menyebabkan kerajaan yang dibinanya adalah lemah.

Sebagaimana Malaysia, Itali juga sedang berperang dengan pandemik Covid-19.

Sehingga kini, lebih 85,000 penduduk di Itali terkorban, berbanding Malaysia 700, akibat Covid-19, sekali gus melumpuhkan ekonomi negara itu.