Malaysia Dateline

Kencang sebut tentang Melayu, Umno-Pas tunduk juga letak calon MCA

Keputusan BN yang mengumumkan calon MCA akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, memperlihatkan sikap pembangkang yang membelakangi kata-kata mereka sendiri.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, ini kerana parti pembangkang itu yang selama ini membangkitkan isu perjuangan Melayu, tetapi hakikatnya tunduk pada parti yang dikuasai orang Cina.

Malah katanya, pengumuman tersebut sekaligus mempertaruhkan maruah Umno dan PasĀ  yang sering memainkan sentimen agama dan api perkauman.

“Kita memang dah jangka dia akan letak calon MCA. Cuma, macam mana dalam keadaan dia dah mengapikan semangat perkauman dengan ekstrimis keagamaan, tiba-tiba mereka letak calon MCA tanpa penjelasan.

“Lihat sahaja Kongres Maruah Melayu awal bulan lalu. Kita lihat ada satu trend penolakan terhadap bukan Melayu, di mana Melayu kena bersatu hadapi bukan Melayu yang kononnya mengancam kuasa negara.

“Kita lihat bagaimana Umno-Pas menyuarakan kebersamaan mereka, mengapikan semangat perkauman dan agama yang mereka cuba tanamkan termasuk kebencian terhadap masyarakat bukan Melayu yang dituduh tak berterima kasih.

“Buat pertama kali, Umno kawasan buat boikoit, tak sanggup turun. Malu sebab (Umno letak) calon Cina, sedangkan masa Kongres dahulu, Umno yang sering menimbulkan isu perkauman,” katanya yang menjawab persoalan Umno-Pas yang dilihat seolah-olah tunduk kepada MCA dikala mereka sering membangkitkan soal Melayu dan Islam.

Beliau berkata demikian dalam Bicara Yb Khalid Samad yang membincangkan isu ‘PRK Tanjung Piai: Di Mana Maruah Pas dan Umno’, malam tadi.
Sementara itu, Khalid berkata, PRK kali ini merupakan yang pertama diadakan selepas Kongres Maruah Melayu dan setelah Umno-Pas bergabung memeterai muafakat Nasional.

Jelasnya yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH, pilihanraya ini bakal memberi peluang kepada pengundi untuk menyatakan reaksi mereka terhadap trend politik sayap kanan yang berunsurkan ekstrimis kaum dan agama.

Malah katanya, PRK kali ini bakal memperlihatkan terkuburnya politik sayap kanan itu yang sering memecahbelahkan rakyat Malaysia, sekiranya pengundi bersatu menolak calon dari MCA yang dipertandingkan.

“Namun begitu, saya sebenarnya suka juga tengok mereka ni letakkan calon MCA. Kerana dengan itu, In shaa Allah Umno-Pas akan tersentak dan sedar bahawa memang tak boleh bawa satu pendekatan khas hanya untuk orang melayu.

“Corak politik yang ekstrimis, sama ada ekstrimis agama atau kaum memang tak ada tempat di Malaysia. Lalu ini sebagai bukti mereka bercakap berapi-api tapi akhirnya mereka sendiri yang membelakangi kata-kata mereka,” ujarnya.