Malaysia Dateline

Kenderaan ketua suruhanjaya PBB di Yaman diserang

Kereta perisai yang ditanda dengan logo Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membawa ketua suruhanjaya badan dunia itu, ditembak pada Khamis, namun semua penumpang selamat, lapor agensi berita Xinhua, memetik jurucakap PBB.

“Jeneral (Patrick) Cammaert, yang mempengerusikan RCC (Jawatankuasa Penyelaras Bantuan Kemanusiaan) dan pasukannya baru selesai berunding dengan wakil kerajaan dan ketika meninggalkan lokasi, sebuah kenderaan yang tertera logo PBB ditembak,” kata Stephane Dujarric, jurucakap kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Cammaert, yang mengenai misi PBB bagi melaksanakan Perjanjian Hodeidah, turut dilantik oleh PBB sebagai ketua RCC yang turut disertai wakil dua pihak yang bertelagah di Yaman.

Suruhanjaya itu ditubuhkan bagi melaksanakan kerja-kerja sokongan pelaksanaan perjanjian terbabit di bandar pelabuhan Hodeidah, Salif dan Ras Issa, seperti yang digariskan dalam Perjanjian Stockholm.

“Pasukan terbabit selamat pulang ke markas tanpa insiden lain,” kata Dujarric kepada pemberita pada sidang media rutin.

“Kami tidak mempunyai sebarang maklumat daripada mana tembakan itu dilepaskan.

“Jeneral Cammaert dan pasukannya selamat,” kata jurucakap itu.

“Beliau mengulangi rayuannya kepada semua pihak supaya bertenang dan mengambil langkah mengukuhkan gencatan senjata oleh semua pihak demi kebaikan seluruh rakyat Yaman.”

Dujarric enggan memperincikan kawalan keselamatan yang disediakan untuk bekas jeneral Belanda itu serta pasukannya.

“Kami tidak akan menghantar orang ke tempat sedemikian tanpa mengambil sebarang langkah berjaga-jaga.”

— BERNAMA