‘Kenduri durian’: Ejen jenama tudung juga sahkan Timbalan Speaker menipu

Oleh ARIF ATAN

Seorang individu yang mengaku ejen jenama tudung turut mendakwa Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menipu berhubung ‘kenduri durian’ yang dalihnya berlaku tahun lalu.

“Bohong. Dalam video tu ada seorang akak ni pakai tudung Fareha code Reyna, koleksi Hari Raya tahun ni punya.

“Baru release dalam dua bulan lepas, tiba-tiba cakap video ni tahun lepas punya?

“Nak menipu tap tak pandai,” selar pengguna Twitter, @thesyafinazasyhrn.

Sebelum ini, ada kalangan warganet telah mengesahkan ‘kenduri durian’ itu memang benar-benar berlaku apabila didapati konsisten selepas dibuat beberapa perbandingan.

Antaranya, jersi Liverpool yang dipakai individu di dalam rakaman tersebut adalah jersi musim baharu bukan tahun lalu.

Selain itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin sememangnya berada di Batu Pahat atas lawatan kerja rasmi pada 27 Jun lalu.

Lawatan bagi meninjau projek pembangunan naik taraf di bawah Majlis Perbandaran Batu Pahat itu menyaksikan beberapa individu yang berada di dalam video ‘kenduri durian’ juga kelihatan pada program yang dihadiri Zuraida Ahad lalu.

Mereka antaranya dilihat berada di hadapan bangunan Majlis Perbandaran Batu Pahat bersama-sama Zuraida.