Kenyataan Adun DAP bersifat rasis, kata ASWAJA

Kenyataan Adun DAP bersifat rasis, kata ASWAJA

Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) menyelar sikap biadap Ahli Dewan Undangan (Adun) DAP yang mengaitkan tragedi meragut lebih 40 nyawa di Christchurch, New Zealand dengan perpaduan ummah yang terjalin antara Pas dan Umno kebelakangan ini.

Presidennya, Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari menegaskan, kenyataan Adun DAP terbabit jelas bersifat rasis dan prejudis yang bertujuan untuk menakutkan dan menghasut bukan Islam, bahawa umat Islam ataupun orang Melayu di negara ini sebagai pelampau dan pengganas.

Katanya, ia sekali gus membuktikan dakwaan sejak sekian lama, bahawa parti DAP adalah sebuah parti yang chauvinis, rasis dan anti Islam.

“Meskipun sudah menarik balik kenyataan tersebut dan DAP kini berada dalam kerajaan, kami tetap mendesak.

“Kami mendesak pihak berkuasa menyiasat dengan seadil-adilnya terhadap kenyataan celupar dan biadap Adun berkenaan kerana menghina orang Melayu dan Islam ketika umat Islam di seluruh dunia sedang bersedih dengan tragedi hitam itu,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Susulan tragedi serangan beramai-ramai terhadap dua buah masjid di Christchurch semalam, pihaknya berkata, dalam konteks Malaysia, serangan di New Zealand itu harus dijadikan iktibar sama ada wajar dan adil hukuman mati dimansuhkan sebagaimana dicadangkan oleh kerajaan yang memerintah hari ini.

“Wajar dan adilkah jika seorang pengganas dan pembunuh sebegini (jika di Malaysia) dibiarkan hidup menjalani hukuman penjara, sedangkan berpuluh orang awam tidak berdosa terkorban begitu sahaja?” soalnya dalam kenyataan itu.

Dr Zamihan berkata, serangan berkenaan menunjukkan fahaman pelampau dan individu serta kumpulan pengganas wujud dalam pelbagai agama dan kaum khususnya dalam masyarakat barat/warga kulit putih.

Katanya, umat Islam dinasihatkan tidak mengambil tindakan balas yang menyalahi agama Islam dan undang-undang negara berdasarkan peristiwa ini.

“Islam adalah sebuah agama yang mementingkan keamanan, kestabilan dan penuh dengan rahmat kasih-sayang.

“Walau bagaimanapun, serangan ‘lone wolf’ untuk membunuh umat Islam ketika menunaikan solat Jumaat, wajib dikutuk oleh mana-mana pihak, sama ada pihak kerajaan, parti politik, agama, dan etnik kerana ia melangkaui batas-batas kemanusiaan” katanya.