Malaysia Dateline

Kenyataan Apandi berbaur politik, selar Wan Azizah

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak harus mempolitikkan isu berkaitan saman sivil Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat terhadap dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Mohamed Apandi sebenarnya tahu isu ini, tetapi kenyataannya semalam lebih berbaur politik.

“Kenyataan Mohamed Apandi mengatakan DoJ tidak pernah meminta maklumat 1MDB daripada pihaknya itulah politik.

“Ini kerana penghakiman dalam rem (judgement in rem) merujuk kepada wang negara yang disonglap dan dibelanjakan di luar negara iaitu Amerika Syarikat.

“Jadi DoJ berhak untuk menyiasat tanpa meminta apa-apa daripada Peguam Negara kerana ia berlaku bukan di Malaysia sebaliknya luar negara,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, tiada keperluan untuk DoJ berbuat demikian kerana ia tidak menyalahi apa-apa kesalahan.

“Beliau lebih arif dalam isu ini. Dengan kenyataan seumpama itu, peguam negara dilihat mahu politikkan isu yang membabitkan wang dana 1MDB ini. Ini bidang kuasa AS,” jelasnya.

Semalam Apandi dalam kenyataannya mendakwa saman sivil terbaharu DoJ untuk merampas tambahan aset AS$540 juta yang didakwa diperoleh dengan dana yang diselewengkan dari 1MDB adalah bersifat politik.

Beliau berkata,ia berikutan DoJ tidak pernah membuat sebarang permohonan rasmi kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan sebarang keterangan atau maklumat lanjut terhadap tuntutan yang dikemukakan oleh mereka.