Malaysia Dateline

Kenyataan berbahasa Cina: TV3 mohon maaf kepada Teo Nie Ching

Buletin Utama di TV3 malam ini memohon maaf kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching ekoran petikan kenyataan berbahasa Cina yang disiarkan menerusi saluran berita itu semalam.

Pembaca berita, Kamaruddin Mape membacakan kenyataan maaf itu susulan permintaan Nie Ching agar stesen televisyen tersebut memberi penjelasan selepas mendapat kecaman pelbagai pihak.

“Pihak TV3 memohon maaf kepada Teo Nie Ching dan penonton Buletin Utama susulan laporan yang disiarkan dalam Buletin Utama 2 Oktober 2019.

“Kami menzahirkan rasa kesal di atas penggunaan kenyataan dalam bahasa Mandarin yang sepatutnya digunakan hanya untuk Berita Mandarin di ntv7 dan 8tv.

“Sekali lagi kami memohon maaf atas kejadian yang tidak disengajakan,” katanya.

Nie Ching dalam sidang akhbar selepas merasmikan bangunan baharu tiga tingkat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Simpang Empat hari ini berkata, stesen televisyen tersebut sangat tidak bertanggungjawab dan tidak adil.

Menurut ahli parlimen DAP Kulai itu, beliau pada mulanya menjawab soalan wartawan berkenaan dalam bahasa Melayu.

“Namun begitu setelah selesai menjawab soalan, saya diminta mengulangi semula kenyataan berkenaan dalam bahasa Mandarin.

“Mereka perlu memberi penjelasan bagi membersihkan nama saya,” kata Nie Ching.

Semalam, Nie Ching telah memberi satu kenyataan berkaitan tindakan Kementerian Pendidikan yang sudah memasukkan elemen pencegahan jenayah siber dan pemerdagangan manusia dalam silibus Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) di peringkat sekolah menengah.

Walau bagaimanapun, petikan kenyataannya yang berbahasa Cina seperti disiarkan menerusi berita jam 8 malam itu mengundang kecaman dan kemarahan orang ramai yang menyifatkan Nie Ching mengkhianati bahasa kebangsaan.

Bahkan, ada warganet yang secara sinis berkata, mereka seolah-olah sedang mendengar pemimpin dari Taiwan atau Hong Kong memberi kenyataan.

Susulan kenyataan Nie Ching berbahasa Cina yang tular di media sosial itu, rata-rata masyarakat Malaysia mendesak seluruh pemimpin atas tujuan rasmi kerajaan menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya apabila memberi kenyataan kepada media.

Kenyataan berbahasa Cina oleh Nie Ching dalam Buletin TV3 semalam yang berdurasi sekitar seminit mengundang kecaman orang ramai.