Kenyataan dipusing Caprice sampai diserang netizen, Michael Ang minta hadam dulu sebelum masuk campur

Oleh MAISARAH AISYA

Ulasan penyanyi Caprice yang mendakwa pengarah Michael Ang menyokong Israel menjadi isu hangat.

Disebabkan isu tersebut pengikut aktivis kemanusiaan yang sering aktif di Instagram menyerang Michael Ang hingga menggesa dia untuk keluar daripada agama Islam.

Menurut Kosmo, Michael memaklumkan tentang salah faham yang timbul berikutan isunya menyokong kekejaman Israel terhadap Palestin.

“Saya tak kisah bila orang gelar saya tak layak bergelar muslim yang baik. Itu urusan antara saya dan Allah SWT.

“Lagi pun saya tidak perlukan pendapat orang lain, mengatakan saya seorang muslim yang baik,” katanya seperti dipetik Kosmo.

Menurut Michael, timbul salah faham dalam perkongsian Instagram baru-baru ini sehingga dia dituduh menyokong Zionis.

Sedangkan hakikatnya dia tidak suka pada peperangan dan mahukan keamanan dan Caprice telah mengeruhkan lagi keadaan..

“Caprice memanipulasi kenyataan dan mengatakan saya menyokong keganasan Israel. Itu tidak adil.

“Caprice ada berjuta-juta pengikut sehingga membuatkan saya dihentam dan diserang pengikutnya,” ujarnya.

Menurut Michael akaun Instagram miliknya pernah disekat daripada melakukan live (siaran langsung) pada tahun 2021 kerana lantang bersuara menentang Israel.

“Pada tahun 2021, saya secara lantang telah menghentam tindakan Israel sehingga perkongsian saya dalam Instagram dipadam dan disekat daripada melakukan live selama dua bulan.

“Saya harap dia hadam kenyataan yang saya keluarkan. Jangan terus main tembak,” tegur Michael.

Menurut Michael, dia bukan sahaja membenci tindakan rejim zionis itu malah mengkritik sokongan kuasa besar dunia yang membantu Israel melakukan keganasan.

Baca juga: Lantang bersuara tentang Palestin, keluarga Hadid terima ugutan bunuh