Malaysia Dateline

M Kulasegaran

Kenyataan diputarbelit mahu timbulkan ketegangan kaum, tegas Kulasegaran

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran menafikan laporan Utusan Malaysia hari ini berhubung kenyataannya yang menyifatkan orang Melayu sebagai pendatang.

Katanya, akhbar itu manyiarkan artikel berita berunsur fitnah dan sengaja memainkan isu perkauman, rasis dan propaganda tentang pandangan beliau terhadap sejarah Malaysia

“Saya ingin menjelaskan tentang pandangan saya yang telah diputarbelitkan oleh pihak-pihak tertentu yang mahu menimbulkan ketegangan kaum,”katanya dalam satu kenyataan.

Naib pengerusi DAP itu berkata, laporan Utusan Malaysia pada 27 Julai 2018 dan dakwaan-dakwaan di media sosial telah menuduh beliau membuat kenyataan kononnya orang Melayu adalah pendatang di Malaysia manakala kaum India merupakan penduduk asal negara ini.

“Ini adalah satu fitnah dan pembohongan. Saya tidak pernah berkata begitu. Ia diputarbelitkan tanpa latar atau konteks yang sebenarnya,”katanya.

Beliau telah hadir di satu majlis agama Hindu di Nilai, Negeri Sembilan minggu lalu, dan mengemukakan pandangan antara lain menjelaskan bahawa sesiapa sahaja tidak sepatutnya tuduh-menuduh dengan menggelar seseorang atau sesuatu kaum sebagai pendatang kerana sama-sama berkongsi kehidupan di Malaysia.

Dalam majlis berbahasa Tamil itu, beliau tidak menyebut sama sekali tentang orang Melayu dan sudah tentu tuduhan mengatakan orang Melayu adalah pendatang merupakan fitnah dan pembohongan semata-mata.

“Apa yang saya jelaskan dalam majlis itu adalah orang India telah berada di Tanah Melayu sejak 2,500 tahun lalu. Agama Hindu dibawa oleh orang India ke Tanah Melayu. Hasil penemuan arkeologi di kawasan Lembah Bujang, terutamanya penemuan Sungai Batu, di Kedah telah membuktikan hal ini.

Sehubungan itu, beliau berpendapat tidak adil jika kaum India digelar sebagai pendatang, berdasarkan faktor-faktor sejarah itu.

“Agama Hindu merupakan agama awal yang dianuti penduduk tempatan di Tanah Melayu dan Nusantara, dan kemudiannya berkembang kepada ajaran Buddha, dan sehinggalah Islam dibawa ke rantau ini dan menjadi popular pada abad ke-15.

“Transmigrasi pula merupakan proses yang natural yang berlaku di seluruh dunia. Pelbagai kaum saling berhijrah ke merata dunia mengikut keperluan dan suasana semasa. Begitu juga dengan Tanah Melayu, Malaysia, India, China dan banyak lagi. Ini fakta sejarah.

“Semua ini adalah fakta sejarah. Jadi, apa yang saya mahu tekankan ialah sejarah patut diajar dengan fakta yang benar, tepat dan lengkap. Ini penting agar setiap warga Malaysia tahu sejarah kita sendiri,”katanya.