Malaysia Dateline

“Kenyataan Dr Mahathir kadang-kadang kena baca terbalik”

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpendapat kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan politik tidak boleh ditafsirkan selapis.

Abdul Hadi berkata, pendekatan politik bekas Perdana Menteri berkenaan mempunyai matlamat tertentu.

“Mungkin sebab itu, kenyataan Dr Mahathir kadang-kadang kita kena baca terbalik.

“Contohnya saya nak sebut, dia pernah buat kenyataan: ‘DAP-lah yang lantik saya jadi Perdana Menteri’ sewaktu era PH memerintah.

“Ini nak beritahu bahawa DAP nak berkuasa ni. Kena baca di situ, jangan kita terus melenting.

“Jadi, kenyataan-kenyataan Dr Mahathir ini tidak boleh dibaca selapis-selapis, sebaliknya kena dibaca secara banyak lapis,” jelasnya dipetik dari temubual di Utusan Malaysia hari ini.

Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri itu turut mengakui bersetuju dengan banyak perkara berkaitan Dr Mahathir.

“Kita anggap ketokohan dia (Mahathir) itu memang jelas di peringkat antarabangsa. Beliau seorang yang berani dan tegas menghadapi kuasa-kuasa besar, kuasa Barat. Beliau konsisten dalam perkara itu, dan itu kita kena hormat.

“Bahkan kita kena sedar, dalam isu mempertahankan hak Bumiputera, beliau (Mahathir) seorang yang sangat tegas dan tidak bertolak ansur. Ini kita kena hormat,” tegas Ahli Parlimen Marang itu.

Walau bagaimanapun, kata Abdul Hadi, hanya pendekatan Ahli Parlimen Langkawi itu berbeza dengan Pas.