Kenyataan Hishammuddin mungkin menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

Kenyataan Hishammuddin mungkin menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), BG Datuk Mohamed Arshad Raji (B) berkata, kenyataan Menteri Pertahanan sementara Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan anggota tentera supaya mengembalikan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan, mungkin menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Jelas beliau, laporan Bernama pada 4 Mei 2018 menyatakan bahawa Hishammuddin telah mengingatkan anggota tentera untuk mengembalikan BN membentuk kerajaan “dengan margin yang besar supaya agenda dapat direalisasikan”.

Agenda-agenda tersebut katanya, adalah pendidikan, penjagaan kesihatan, perumahan, kebajikan veteran, dan arah tuju untuk memastikan kesediaan pertahanan dan keselamatan negara.

“Dengan membuat kenyataan itu, Menteri Pertahanan penjaga boleh dianggap telah menggunakan ancaman, mendorong, atau cuba untuk mendorong anggota tentera untuk mengundi BN.

“Oleh itu, dia mungkin telah melakukan kesalahan ‘Pengaruh Tidak Wajar’ (Undue Influence) di bawah Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Mohamad Arshad, seseorang yang mengancam untuk menimbulkan kerugian temporal kepada mana-mana orang untuk mendorong orang itu untuk mengundi atau menahan diri daripada mengundi, telah melakukan kesalahan ‘Pengaruh Tidak Wajar’.

Selain itu tambahnya, ia juga disifatkan mengganggu hak kebebasan memilih seseorang.

“Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) ingin menyatakan secara jelas perkara berikut:

1. Ia bukan apa yang dirancang seperti pendidikan, kebajikan, atau hospital; tetapi bagaimana pegawai kerajaan melaksanakan rancangan itu. Yang penting, tiada rasuah, tiada pembaziran, dan tiada kronisme dalam pemberian projek.

2. Jika projek-projek yang dirancang adalah baik untuk rakyat dan negara, mana-mana kerajaan yang bersih juga boleh melaksanakan projek-projek tersebut. Apa yang paling penting ialah kerajaan yang bersih,” kata beliau.