Kenyataan Ku Li, Agong punya kuasa mutlak lantik PM, tidak masuk akal

Kenyataan Ku Li, Agong punya kuasa mutlak lantik PM, tidak masuk akal

Kenyataan Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berhubung Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mempunyai kuasa mutlak untuk melantik Perdana Menteri jika Tun Mahathir meletak jawatan, adalah mengarut.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, lantikan jawatan Perdana Menteri tidak hanya melibatkan ketua parti, malah Baginda boleh angkat siapa sahaja dalam kalangan ahli Parlimen.

Berhubung perkara itu, Peguam, Syahredzan Johan menyifatkan, ia adalah satu kenyataan yang tidak masuk akal dikeluarkan Tengku Razaleigh atau lebih kenali sebagai Ku Li.

“Sebenarnya Baginda tiada kuasa mutlak untuk melantik Perdana Menteri… kuasa Baginda hanya untuk melantik seseorang itu yang mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Jika melalui perjanjian peralihan kuasa itu, Perdana Menteri baharu juga mempunyai sokongan ahli Parlimen, maka orang itu wajar dilantik.

“Parti politik yang menentukan siapa bakal menjadi Perdana Menteri, dan bukannya YDPA,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung desas-desus peralihan jawatan Dr Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Syahredzan berpendapat, janji yang dibuat, apabila disepakati maka ianya perlu dipatuhi.

Selepas Majlis Berbuka Puasa dan Sambutan Hari Ulang Tahun Umno ke-73 di Dewan Bukit Cekati, Gua Musang pada Rabu lalu, Ku li turut memberitahu media tiada jawatan sementara buat Perdana Menteri dalam perlembagaan.

Beliau berkata, dalam perlembagaan, tiada paksaan untuk berhenti melainkan Dr Mahathir sendiri meletak jawatan, dan istilah jawatan sementara itu juga tiada, kerana ia dilantik untuk sepenuh penggal.

Katanya, mana-mana pihak tidak boleh memaksa Dr Mahathir melepaskan jawatan termasuk Agong.