Malaysia Dateline

Kenyataan melampau serang Nik Omar keterlaluan, kata Tuan Ibrahim

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menyifatkan kenyataan dibuat oleh Nik Abduh Nik Abdul Aziz hanya mewakili pandangan keluarga terbabit bukan pendirian parti.

Timbalan  Presiden Pas itu berkata, sesuatu kenyataan mengenai pendirian parti,  hanya diiktiraf jika keluar daripada pimpinan utama, oleh itu tidak perlu ada kenyataan lain di pihak parti dikeluarkan.

“Tindakan beliau (Nik Omar) bertanding atas tiket Pakatan Harapan adalah urusan dan pilihan beliau sendiri yang tidak perlu diperbesarkan.

“Pas menganggap sebarang kenyataan melampau yang menyerang beliau (Nik Omar) adalah tindakan yang keterlaluan,” katanya dalam satu kenyataan.

(kiri) Nik Abduh Nik Nik Aziz dan Nik Omar Nik Aziz

Beliau mengulas mengenai perbezaan pendirian dua anak bekas Mursyidul Am Pas Allahyarham Nik Abduh yang berlaga angin dengan Nik Omar yang kini menyertai AMANAH.

Kata Tuan Ibrahim lagi, dalam sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia seseorang itu bebas memilih mana-mana parti yang diingini.

“Perkara ini bukan perkara baru dalam politik Malaysia. Terlalu banyak kes yang berlaku semasa atau sebelum ini,” jelas beliau.

Tuan Ibrahim mengingatkan ahli dan penyokong Pas supaya berhati-hati dengan permainan perang saraf serta berita palsu yang sengaja disebarkan untuk menarik sokongan orang ramai.

PAS hari ini dililhat menjarakkan dirinya daripada pendirian Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Semalam, Nik Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat di dalan status di Facebook menjelaskan pendirian beliau dalam isu pembabitan abangnya yang menyertai gabungan parti dalam Pakatan Harapan.

Calon Pas untuk parlimen Bachok itu antara lain memetik nama ibu mereka, Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Di hujung tulisan itu dicatatkan ayat berikut: “Siapa kita tanpa bonda? Sekadar air mani terbuang hina.” yang mendapat komen balas yang kurang disenangi oleh pengikut di laman facebook beliau.

Sebelum itu Nik Omar yang bertanding di kerusi Dun Chempaka telah mendoakan adiknya Nik Abduh yang bertanding di Parlimen Bachok sebaliknya di balas Nik Abduh dengan nada sindiran dan kecaman.