Malaysia Dateline

Kenyataan MP BN dipertikai, sejak bila setuju langgar arahan MKT parti, tanya Najib

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak mempertikaikan satu kenyataan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) semalam yang menyokong Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin kerana beliau tidak pernah dirujuk mengenainya.

“Eh.. saya pun ahli parlimen BN. Sejak bila saya setuju langgar arahan MKT parti semalam?” tanya bekas Perdana Menteri itu menerusi kenyataan di Facebook beliau sambal mengepil kenyataan tanpa nama itu.

“Siapa ada senarai penuh nama-nama yang dimaksudkan dalam kenyataan yang dikeluakan entah pihak mana ini?” tanya Najib kepada kenyataan media penuh kontroversi yang turut disiarkan oleh Buletin Utama TV3 malam tadi itu.

Menurut Najib, beliau mengenali semua calon Bn dalam pilihan raya umum lalu kerana beliau yang menandatangani watikah perlantikan mereka.

“Saya yang tandatangan watikah pencalonan bagi setiap ahli parlimen BN yang ada hari ini.

“Sebab itu, saya tentu akan kenal nama setiap orang ahli parlimen BN. Sila beri senarai nama,” kata Najib dalam kenyatan itu.

Menurut kenyataan itu, ahli-ahli Parlimen BN sepakat untuk kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang mentadbir pada hari ini.

Kenyataan itu juga turut menyatakan, mereka menyokong Mahiaddin sebagai PM bagi meneruskan agenda membela rakyat.