Malaysia Dateline

Kenyataan Peguam Negara bercanggah dengan Perlembagaan

Jawatankuasa Perundangan Pakatan Harapan mendakwa kenyataan Peguam Negara bercanggah dengan Perlembagaan apabila menyatakan setiap Ahli Parlimen Umno perlu menyatakan pendirian secara individu bahawa mereka telah hilang kepercayaan kepada Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.

Sehingga berlaku keadaan sedemikian menurutĀ  Tan Sri Idrus Harun, Mahiaddin dan kabinetnya masih berhak untuk menggunakan kuasa eksekutif mereka.

Menurut Pakatan Harapan kenyataan Idrus bahawa bukan hak Umno atau presidennya bagi menyatakan Ahli Parlimen Umno telah kehilangan kepercayaan terhadap Perdana Menteri telah gagal menjelaskan hakikat pelantikan Mahiaddin sebelum ini sebagai Perdana Menteri adalah berdasarkan representasi pemimpin parti kepada Yang diPertuan Agong dan bukannya oleh Ahli Parlimen secara individu.

Tambahan lagi katanya, penentuan tentang hilangnya kepercayaan terhadap Perdana Menteri tidak hanya perlu diputuskan dengan undi tidak percaya di dalam Parlimen sahaja.

“Penentuan ini boleh juga dibuat melalui bukti-bukti lain di luar Parlimen.

“Inilah prinsip undang-undang yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Dato Seri Ir Hj Mohammad Nizar Jamaluddin lawan Dato Seri Zambri bin Abdul Kadir (Peguam Negara sebagai pencelah) [2010] 2 MLJ 285 perenggan 48,” katanya.

Dalam kenyataan bersama ahli Jawatankuasa Perundangan PH tindakan Umno menarik balik sokongan terhadap Mahiaddin adalah bukti yang menunjukkan dengan jelas bahawa PM telah hilang sokongan majoriti anggota Parlimen.

Dalam keadaan sedemikian, katanya, Mahiaddin hendaklah meletakkan jawatan dan mengundurkan diri daripada Kabinet kecuali jika beliau memohon kepada Yang diPertuan Agong untuk membubarkan Parlimen menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Jikalau Tan Sri Muhyiddin gagal meletakkan jawatan, Yang diPertuan Agong boleh mengarahkan Perdana Menteri untuk mengadakan sidang parlimen segera tanpa menunggu tarikh 26 haribulan untuk mengemukakan usul percaya bagi membuktikan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti ahli-ahli parlimen.

“Sekiranya beliau gagal berbuat demikian, Yang diPertuan Agong berhak memecatnya dan melantik anggota parlimen lain yang mendapat sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri.

“Jawatankuasa ini sepakat dengan pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan bahawa pilihan raya umum atau pilihan raya kecil harus dielakkan pada masa ini kerana kes COVID-19 masih tinggi di negara ini,” katanya.

Tan Sri Idrus Harun dilaporkan berkata, buat masa ini, kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan bahawa Muhyiddin tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.