Malaysia Dateline

Kenyataan Peguam Negara jelas memperkecilkan kuasa YDPA

Peguam Negara Idrus Harun tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan umum yang seolah-olah “memperkecil” kuasa Yang DiPertuan Agong, demikian menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Katanya, Idrus Harun jangan lupa bahawa beliau dilantik oleh Yang DiPertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, dengan menekankan bahawa Yang DiPertuan Agong tidak mempunyai kuasa kecuali untuk mendengar nasihat Kabinet jelas menunjukkan Idrus berpihak kepada Perdana Menteri untuk mengenepikan Titah Diraja Agong yang didukung oleh Majlis Raja-Raja, agar Parlimen bersidang secepat mungkin.

“Tidak ada keraguan bahawa Idrus telah menunjukkan wajahnya yang sebenar sebagai Peguam Negara bersifat politik, yang bersedia melakukan arahan Perdana Menteri untuk memenuhi kepentingan politik seperti yang diperlukan.

“Idrus telah menarik tumpuan orang ramai sebelum ini atas penyalahgunaan kuasa yang ditunjukkannya dalam menahan tindakan dan menjalankan pendakwaan terpilih terhadap ahli politik yang menyokong atau menentang Perdana Menteri,” kata beliau.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berkata, Idrus tidak perlu berpura-pura bahawa dia menegakkan undang-undang ketika dia bersedia untuk mendedahkan kepada umum nasihatnya kepada Yang DiPertuan Agong sebagai pegawai undang-undang utama kerajaan.

“Langkah yang belum pernah terjadi sebelum ini sangat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab. Walaupun pandangan Idrus boleh dipertikaikan secara sah oleh pakar undang-undang yang lain, mengapa dia mendedahkannya kepada umum sekarang?

“Sebelum ini, Idrus tidak mendedahkan kepada umum pandangannya bahawa Yang DiPertuan Agong sepatutnya mendengar nasihat Kabinet ketika Tuanku menolak permohonan pertama Perdana Menteri Mahiaddin Md Yassin dan Kabinet tahun lalu untuk mengisytiharkan darurat,”ujarnya.

Kenyataan umum Idrus sekarang katanya secara jelas membayangkan bahawa Yang DiPertuan Agong telah terkhilaf apabila menolak permohonan Kabinet untuk darurat pertama ketika itu, tetapi tidak ada kenyataan umum daripadanya.

“Apa sebabnya Idrus sekarang secara tiba-tiba berani bersuara terhadap Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja?

“Tidak syak lagi bahawa kegagalan Kerajaan PN telah menyebabkan Yang DiPertuan Agong mengambil langkah bersejarah untuk memanggil semua pemimpin parti politik, termasuk pemimpin pembangkang, untuk mendapatkan pandangan.

Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja telah bertitah dengan tegas bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin untuk membincangkan pandemik global COVID-19 berikutan lonjakan tertinggi jangkitan dan angka kematian, kemelesetan ekonomi serta pelbagai Ordinan Darurat yang dikeluarkan di bawah kuasa Darurat.

Justeru, DAP menggesa Kerajaan PN untuk tidak menggerakkan usaha keseluruhan kerajaan terhadap Titah Diraja Agong, dan bahawa Yang DiPertuan Agong tidak mempunyai kuasa untuk memanggil sidang Parlimen tetapi merupakan prerogatif Kabinet.

“Tindakan politik melulu seperti itu boleh mencetuskan krisis perlembagaan yang tidak dapat ditanggung oleh Malaysia kini ketika menghadapi pelbagai krisis.

“PN sebaliknya perlu mematuhi Yang DiPertuan Agong, Majlis Raja-Raja dan rakyat yang menuntut agar Parlimen bersidang secepat mungkin dan Darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos,” katanya.