Kenyataan Pengerusi AMANAH Terengganu Tengku Asmadi sertai AMANAH tidak benar

Kenyataan Pengerusi AMANAH Terengganu Tengku Asmadi sertai AMANAH tidak benar

Pengarah Komunikasi AMANAH Terengganu, Hasbie Muda berkata, Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Tengku Asmadi Tengku Mohamad akan menyertai AMANAH.

Kata beliau, beliau merujuk berita yang disiarkan oleh Sinar Harian (online) bertajuk “Tengku Asmadi Masuk Amanah” yang memetik kenyataan kononnya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah bahawa bekas calon BN parlimen Kuala Nerus dalam PRU14 Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad akan menyertai AMANAH.

Beliau (Tengku Asmadi) juga menurut laporan tersebut kata Hasbie, akan menyerahkan borang keahlian dalam Majlis Makan Malam Amal anjuran Pemuda AMANAH Terengganu.

Jelas beliau, petikan kenyataan tersebut adalah tidak benar memandangkan Datuk Raja Bahrin tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Berita mengenai kemasukan Dr Asmadi adalah spekulasi media serta segelintir netizen dan bukanlah kenyataan rasmi daripada mana-mana pemimpin AMANAH Terengganu.

“AMANAH Terengganu tidak pernah memujuk mana-mana pemimpin atau bekas pemimpin BN untuk menyertai AMANAH,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Katanya lagi, sebagai sebuah parti pemerintah di peringkat persekutuan, AMANAH sentiasa berhati-hati dalam memperhalusi setiap permohonan yang dibuat oleh pemimpin atau bekas pemimpin BN.

Walau bagaimanapun tambahnya, pihaknya tetap inklusif membuka pintu kepada sesiapa sahaja untuk menyertai AMANAH.

COMMENTS