Malaysia Dateline

Kenyataan pimpinan Kelantan berhubung isu pembalakan mengelirukan

Kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah baru-baru ini berhubung isu pembalakan (pengusahasilan) adalah mengelirukan dan tidak bersandar kepada disiplin dalam bidang berkaitan pengurusan hutan dan alam sekitar.

Menurut Aktivis Alam Sekitar Meor Razak Meor Abdul Rahman kenyataan kedua-dua pemimpin tersebut bahawa negeri Kelantan mengamalkan pengurusan hutan secara mampan, mematuhi kuota Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan telah memperolehi pensijilan ‘Malaysian Criteria and Indicators for Sustainable Forest Management’ (MC&I) dibawah Skim Pensijilan Kayu Balak (MTCS) adalah sebaliknya dan boleh dipersoal.

Penasihat, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) juga berkata pensijilan bagi negeri Kelantan telah ditarik balik sejak 11 Mac 2016 dan salah satu faktor ditarik balik adalah kerana mengusahasil melebihi kuota CTT.

“Penarikan pensijilan dibawah MTCS adalah salah satu petunjuk bahawa Kerajaan Negeri tidak mempunyai dasar dan iltizam untuk mengurus dan mengusahasil sumber hutan secara mampan.

“SIRIM QAS Sdn Bhd telah membuat keputusan tersebut setelah Unit Pengurusan Hutan Negeri Kelantan gagal membuat penambahbaikan terhadap Permintaan Langkah Pembetulan (Correction Action Request) yang dikendali oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Meor, masyarakat umum tidak mempersoal aktiviti pengusahasilan dilakukan secara sah atau tidak sah malah tidak juga menafikan hasil hutan adalah salah satu pendapatan kepada negeri tetapi masyarakat umum tidak boleh menerima aktiviti pengusahasilan di negeri Kelantan dieksploitasi secara ‘rakus’.

Tegas beliau, ‘kerakusan’ aktiviti pengusahasilan di negeri Kelantan bertambah parah apabila hampir 28% keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri tersebut dizonkan untuk tujuan pelaksanaan ladang hutan (ladang monokultur).

“Itu tidak termasuk aktiviti perlombongan dan pengkuarian dalam kawasan HSK.

“Pengusahasilan secara tebang habis untuk tujuan pelaksanaan ladang monokultur, perlombongan dan pengkuarian berskala besar dalam kawasan HSK memusnahkan litupan asal (hutan asli).

“Pemusnahan litupan hutan asal memberi impak terhadap hidrologi hutan apabila permukaan tanah terdedah kepada kadar curahan hujan yang tinggi serta menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas.

“Permukaan tanah yang terdedah kepada kadar curahan hujan yang tinggi akan menyebabkan lebihan air larian permukaan, hakisan lereng bukit, kerosakan struktur sungai dan kemerosotan kualiti air,” ujar beliau.

Hutan asli adalah aset yang sangat penting kerana salah satu fungsi dirian pokok dan tumbuhan ialah mampu menadah curahan hujan manakala reputan di lantai hutan melindungi tanah daripada impak secara terus curahan hujan.

Disamping itu apabila hutan dimusnahkan, proses penyejatan meningkat dan paras wap air juga biasanya lebih tinggi.

Geofizikal dan topografi negeri Kelantan juga mempunyai beberapa banjaran utama yang merupakan sebagai ‘Central Forest Spine’ (CFS).

Justeru beliau meminta kerajaan negeri harus memahami bahawa apabila kawasan CFS yang dikategori sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dimusnahkan dan dilakukan aktiviti selain guna tanah hutan, impaknya adalah terhadap ekosistem persekitaran.

Oleh kerana itulah, katanya mengikut Rancangan Fizikal Negara (RFN) KSAS perlu dipelihara.

Kadar taburan hujan yang tinggi tidak boleh dijadikan faktor utama yang menyumbang kepada bencana banjir tetapi aktiviti manusia yang tidak terkawal seperti pembalakan, pengubahan guna tanah hutan kepada lain-lain guna tanah dan kerja-kerja tanah berskala besar boleh juga mempengaruhi bencana yang lebih buruk.

Malah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pernah bertitah bahawa semua pihak agar sedar musibah banjir yang berlaku adalah perbuatan manusia sendiri selari dengan Surah Al-Rum: ayat 41.

Beliau sebagai aktivis alam sekitar berharap Kerajaan Negeri Kelantan dapat mempertimbang untuk menghenti dan tidak meluluskan lagi apa sahaja aktiviti yang berisiko impak di KSAS terutama dalam kawasan HSK.

“Saya juga berharap Kerajaan Negeri Kelantan dan pihak-pihak berkuasa berkaitan mematuhi dan mengguna pakai racangan pemajuan terutama RFN dan lain-lain dasar yang berkaitan disamping menguatkuasakan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya lagi.