Malaysia Dateline

Kenyataan Rais mengenai Undi18 mengecewakan, kata AMK

Pemuda PKR (AMK) hari ini turut kecewa dengan kenyataan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim bahawa Undi18 sebagai tidak praktikal dan membayang sikap kerajaan sekarang kepada kepentingan orang muda.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim baru-baru ini berkenaan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun ternyata agak mengecewakan,” kata Naib Ketua AMK, Jestin Raj Savarimuthu.

Beliau mengulas kenyataan Rais yang berkata, penguatkuasaan yang dijadual berkuatkuasa Julai ini tidak dapat diteruskan meskipun sudah mendapat kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Kenyataan Jestin menyusul selepas AJK AMANAH Nasional, Datuk Raja Kamarul Bahrin yang berkata, tindakan Rais dan kerajaan yang ada meremehkan undi anak muda bukan pengundi 18 tahun sahaja.

Bagi Jestin, kelulusan pindaan terhadap Undi 18 tahun adalah satu kejayaan bi-partisan kerana belum pernah ada pindaan perlembagaan yang mendapat sokongan sebulat suara.

“Pindaan ini membuka peluang kepada anak muda untuk terlibat secara langsung dalam menentukan dasar pembangunan negara serta merancakkan demokrasi negara,” kata beliau.

Bagi beliau, keputusan Dewan Negara ini mencabul hak pengundi 18 tahun akibat kemelut politik yang sedang melanda negara.

Katanya, anak muda harus diasah dan diberi kesedaran awal berkenaan politik agar mereka ini tidak mudah dipergunakan oleh kelompok-kelompok tertentu.

Ibubapa dan para pendidik harus memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak muda ini bagi bersiap siaga menjadi pelapis negara, katanya.

Berdasarkan kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat, seramai 7.8 juta pengundi baharu dijangka akan dimasukkan ke dalam Daftar Pemilih secara automatik sehingga tahun 2023.

Pelaksanaan ini memerlukan perancangan komprehensif yang menuntut komitmen pelbagai agensi kerajaan, swasta, parti politik, dan badan bukan kerajaan untuk merealisasikan usaha ini khususnya Suruhan Piliharaya (SPR) dan juga Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Jika kita lihat di rantau Asia, Malaysia antara beberapa negara terakhir yang memberi kuasa penurunan had umur mengundi kepada rakyat.

“Ini merupakan satu pembaharuan yang besar dalam konteks sejarah Negara,” katanya.

Antara negara yang lebih awal memberikan hak mengundi kepada anak muda adalah Amerika Syarikat, German, Argentina, Brazil dan jiran serumpun kita iaitu Indonesia.

Namun, khabar angin yang menyatakan penurunan had umur mengundi ini telah dilakukan secara tergesa-gesa dan bermotifkan politik adalah tidak masuk akal, katanya.
Ia bertentangan dengan apa yang berlaku di kalangan anak muda kerana di era digitalisasi ini, ramai anak muda yang telah mula membicarakan tentang hala tuju negara, terutama kumpulan mahasiswa dan pelajar sekolah menengah.

“Mereka ini mudah memperoleh maklumat dihujung jari dengan kadar masa yang cukup singkat. Kerajaan harus menunjukkan keberanian mereka dalam melakukan perubahan ini,” katanya.