Kenyataan Senator Fraser Anning amat jelik, tidak logik, kata Azmin

Kenyataan Senator Fraser Anning amat jelik, tidak logik, kata Azmin

Kenyataan Senator Fraser Anning dari Australia yang menyalahkan program imigrasi dan Islam sebagai punca insiden penembakan di Christchurch adalah amat jelik dan tidak logik, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata ramai yang berdukacita dan melahirkan simpati kepada keluarga dan orang tersayang mangsa terhadap jenayah yang keji ini, kenyataan Senator Anning adalah tidak sensitif sama sekali dan kurang disenangi serta bersifat perkauman.

“Beliau yang sepatutnya menunjukkan perasaan simpati dan belas kasihan, sebaliknya telah mempamerkan sikap rasis dan kebencian terhadap Islam dan umat Islam dengan menyalahkan mangsa dan tidak sebaliknya menyalahkan pelaku jenayah,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, Mohamed Azmin menyeru semua rakyat Malaysia dan semua orang yang berfikiran waras untuk mengutuk Senator Anning dan kenyataannya.

Dua rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam insiden penembakan di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood dan kedua-dua mereka kini menerima rawatan di hospital.

Menurut laporan media, insiden penembakan secara rambang itu, yang berlaku pada 1.40 tengah hari (8.40 pagi waktu Malaysia), meragut sekurang-kurangnya 49 nyawa dan berpuluh-puluh yang lain cedera.