Malaysia Dateline

Kenyataan Setiausaha Pas Selangor tidak tepat dan tidak pernah berlaku, kata istana

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Pas Selangor selepas dipanggil menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah, adalah sama sekali tidak tepat serta tidak pernah berlaku.

Menerusi laporan yang disiarkan sebuah portal berita pada 16 Jun, Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir antara lain berkata, mereka dihubungi pihak istana kerana baginda Sultan ingin mengetahui pendirian Pas dalam perayaan Bon Odori.

“Baginda ingin tahu pendirian kami dalam perayaan Bon Odori. Baginda memberi pandangan dan kami juga sampaikan kepada baginda bahawa kami menghormati pendirian baginda,” kata Roslan.

Bagaimanapun Mohamad Munir berkata, kenyataan itu sama sekali tidak tepat.

“Adalah ditegaskan bahawa kenyataan ini tidak tepat sama sekali dan tidak berlaku sebenarnya ketika Pesuruhjaya Pas Selangor menghadap Sultan Selangor pada tarikh berkenaan,” katanya.

Jelas Mohamad Munir, pada sesi menghadap itu, Sultan Sharafuddin hanya menyatakan tentang pendirian baginda tidak menyekat festival kebudayaan Jepun Bon Odori yang akan diadakan di Selangor.

“Pada pandangan baginda hanya berunsur kebudayaan semata-mata.

“Baginda juga tidak menghalang mana mana orang Islam untuk menghadirinya sehinggalah satu kajian mendalam dilakukan terhadap festival berkenaan sama ada ianya berunsur keagamaan atau kebudayaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat khususnya masyarakat Islam,” jelasnya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Beliau berkata, dalam sesi menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan Shah Alam pada petang 14 Jun itu, turut dititah hadir bagi menyaksikan pertemuan itu adalah beberapa orang Ahli Dewan di-Raja Selangor termasuk Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Tedahulu, Dr Ahmad Yunus dalam kenyataan memaklumkan pertemuannya bersama Sultan Selangor pada Selasa lalu hanya untuk mendengar titah baginda dan tiada sebarang perbincangan berlaku antara beliau dan Sultan Sharafuddin.

Bagaimanapun Roslan Shahir berkata, mereka telah dihubungi pihak istana memandangkan Sultan Sharafuddin ingin tahu apakah pendirian terhadap pesta yang akan diadakan di Kompleks Sukan Shah Alam, 16 Julai ini.

Baca juga: Pengusaha taska tersepit jika bayar gaji minimum, MP minta kerajaan beri lebih banyak subsidi

Baca juga: Saintis China dakwa air boleh wujud di bulan