Malaysia Dateline

Kenyataan Timbalan KPN mengenai Isa Samad pelik, mengelirukan

Kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Noor Rashid Ibrahim pada Sabtu 23 Disember 2017, selepas merasmikan Program Kayuhan Amal Anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Queensbay, Bayan Baru Pulau Pinang bahawa polis akan menyiasat isu kehilangan tanah Felda dan akan memanggil Tan Sri Isa Samad apabila Isa Samad tiba di tanah air dari luar negara, menjelaskan bahawa Isa Samad masih di luar nagara, kata Ahli Parlimen Pokok Sena, Haji Mahfuz Omar.

Laporan yang disiarkan Berita Harian Online pula, Isa Samad tidak mahu melayan media apabila mengetahui media menunggu beliau di KLIA pada Jumaat 22 Disember 2017 untuk mendapatkan kenyataan berkenaan isu kehilangan tanah hak milik Felda, kata beliau.

Merujuk kenyataan Timbalan KPN itu, kata Mahfuz, ada dua perkara pelik yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut pegawai tertinggi PDRM, pertama pihak polis hendak menunggu Isa Samad balik seolah-olah Isa Samad masih di luar negara pada hari kenyataan itu dibuat, sedangkan pada hari Jumaat, Isa Samad sudah pun sampai ke Malaysia,

“Amat mustahil sekiranya polis tidak tahu pergerakan Isa Samad dan tarikh kepulangan Isa Samad tiba di Malaysia bila timbulnya isu ini.

“Amat pelik serta mengelirukan bagaimana media boleh menghidu ketibaan Isa Samad di KLIA tetapi polis tak nampak. Ilmu ghaib apa yang Isa Samad pakai selain saiz tubuhnya yang kecik hingga hanya polis sahaja yang tidak nampak beliau,” kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

Kata beliau, jika orang biasa selain Isa Samad, beliau percaya pihak polis akan menahan orang itu semasa di lapangan terbang KLIA sejurus keluar daripada pesawat atau adakah Isa Samad telah ke luar negara semula?

“Kepelikan kedua pada kenyataan Timbalan KPN bila beliau berkata kemungkinan Isa Samad dipanggil untuk beri keterangan, ini juga membawa maksud kemungkinan Isa Samad tidak dipanggil.

“Adakah dalam kes tanah Felda yang berlaku semasa Isa Samad jadi Pengurusi Felda boleh tak di panggil Isa Samad untuk beri keterangan pada pihak polis,” soal beliau.

Menurut Mahfuz, polis tidak sepatutnya menyebut kemungkinan Isa Samad dipanggi. Memang sepatutnya Isa Samad mesti dipanggil untuk siasatan polis, bukan kemungkinan dipanggil yang boleh jadi tidak dipanggil.

“Apakah Isa Samad masih lagi berada dalam negara atau apakah ada agenda lain dan siapa yang cuba lindungi Isa Samad, jawapannya kena tanya MO1,” sindir beliau.