Malaysia Dateline

Kenyataan Timbalan Menteri Agama resahkan bukan Islam di Sarawak

Kenyataan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuki Shaary bahawa Kerajaan Persekeutuan sedang mendraf undang-undang untuk mengawal perkembangan agama bukan Islam tidak dialu-alukan sama sekali oleh semua yang beragama bukan Islam terutamanya di Sarawak.

Ahli Parlimen Selangau Baru Bian berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub perlu menjelaskan perkara ini kerana ia telah menyebabkan keresahan dan kebingungan warga Malaysia yang beragama bukan Islam.

Kenyataan tersebut dibuat berikutan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa yang beragama bukan Islam dibenarkan menggunakan perkataan “Allah”.

“Walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan perkara yang melibatkan hal-ehwal agama bukan berada di bawah senarai negeri dan undang-undang , namun ternyata kerajaan terus cuba mencabuli hak-hak warga bukan beragama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Wan Junaidi harus memberi maklum balas yang lebih menyakinkan bahawa beliau dan Menteri-menteri dari Sarawak akan meluahkan penentangan mereka ke atas draf undang-undang ini,” kata Baru dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Beliau menambah lagi, perkembangan terkini langsung tidak selari dengan konsep Keluarga Malaysia seperti yang dilaungkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.