Malaysia Dateline

Kenyataan Tiong malukan anak Sarawak, kata GPS

Seorang pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing di Dewan Rakyat kelmarin adalah sebagai memalukan anak Sarawak.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar) berkata, kenyataan Tiong yang mendakwa Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah takut mati adalah mengejutkan serta memalukan.

Justeru, katanya kenyataan seperti itu tidak sepatutnya keluar dari rakyat Sarawak lebih-lebih lagi kepada mereka yang bekerja dalam bidang perubatan, tentera dan polis.

“Saya sangat terkejut melihat ucapan beliau (Tiong) di parlimen dan tidak sangka serta berasa malu kerana kenyataan itu dikeluarkan oleh anak Sarawak.

“Kita sepatutnya mengiktiraf pengorbanan yang dilakukan oleh mereka yang bekerja dalam bidang perubatan, tentera dan polis,”tegas Abdul Karim.

Beliau yang juga merupakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Sarawak berkata, walaupun Tiong merupakan sebahagian daripada barisan kepimpinan GPS, itu tidak bermakna kenyataan yang dikeluarkannya harus disokong.

“Jeneral tidak masuk ke medan pertempuran, mereka merancang segala strategi. Oleh demikian, apa yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Bintulu itu tidak sepatutnya terjadi.

“Dia mungkin pemimpin GPS tetapi saya tidak sesekali akan bersetuju dengan kenyataan itu dan selepas ini sila berhemah dan menggunakan kata-kata yang betul ketika di Parlimen,” jelasnya.

Kelmarin, ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Pembekalan (Belanjawan 2021 Sidang Dewan Rakyat, Tiong telah mendakwa Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah takut mati.

Tiong turut mendakwa Hisham tidak berani turun ke Sabah ekoran negeri itu kini mengalami kesan paling teruk akibat gelombang ketiga Covid-19.