Malaysia Dateline

Kenyataan Ustaz Sharkawi bentuk provokasi untuk rakyat mempercayainya

Kenyataan penceramah, Ustaz Sharkawi Ishak di sebuah program anjuran Pas dan Umno di Pulau Pinang minggu lalu yang mengatakan kerajaan Malaysia ditadbir komunis, disifatkan sebagai satu bentuk provokasi kepada rakyat untuk mempercayainya.

Pengerusi Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria berkata, disebabkan beberapa isu yang melanda negara sejak kebelakangan ini, ia tidak bermakna kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah komunis.

Katanya, hanya kerana sedikit insiden berkaitan ideologi komunis seperti Perhimpunan Komunis dan abu mayat Chin Peng sebelum ini, ia tidak membawa maksud kerajaan PH ini komunis.

“Cara beliau bercakap seolah-olah kerajaan Malaysia yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), dan Perdana Menteri yang dilantik selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan kabinetnya adalah ahli-ahli yang sah dan menubuhkan kerajaan yang sah.

“Kemungkinan semua ini adalah agenda politik murahan daripada pihak pembangkang. Dulu libatkan agama dan bangsa, sekarang ingin libatkan ideologi komunis pula.

“Jadi, pendapat saya ini adalah satu cara provokasi yang hendak diselewengkan atau diputar belitkan sehingga rakyat yang tidak faham, mempercayai semua itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini selepas membuat laporan polis berhubung kenyataan yang keluar daripada mulut Ustaz Sharkawi pada minggu lalu.

Susulan laporan polis yang telah dibuat, Razali pihaknya menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa supaya segera mengambil tindakan terhadap Ustaz Sharkawi kerana boleh menggugat keselamatan negara.

Kelmarin, BEBAS news melaporkan, Sharkawi yang lebih dikenali sebagai “Ustad Rempit” dalam ceramah di sebuah program anjuran Muafakat Nasional, kerjasama Umno-Pas di Permatang Pasir, Pulau Pinang pada 20 Disember lalu berkata, Malaysia ditadbir komunis yang ‘hanya menjaga kaum mereka dan mahu memusnahkan Malaysia’.

Susulan itu, AMANAH Pulau Pinang dan PPBM Terengganu membuat laporan polis berasingan terhadap Sharkawi.