Kepada Azmin, Haziq terimalah buah fikiran saya, kata Mufti Wilayah Persekutuan

Kepada Azmin, Haziq terimalah buah fikiran saya, kata Mufti Wilayah Persekutuan

Mufti wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri melahirkan kegusaran dengan situasi politik negara ini ekoran penyebaran video seks yang didakwa melibatkan seorang menteri kabinet dan seorang lelaki sejak beberapa hari lalu.

Melalui hantaran di facebooknya, beliau telah meluangkan masa untuk membuat kajian dan menyiapkan 4 buah artikel Bayan Linnas berhubung isu itu malam tadi.

“Seawal tersebarnya video tersebut, hati ini amat gusar kerana terfikirkan 1001 masalah yang bakal mendatang kepada umat ini dek sebaran video berkenaan.

“Oleh kerana merasakan perlunya satu panduan yang tuntas kepada umat Islam di Malaysia, saya meluangkan sedikit masa untuk membuat kajian dan menyiapkan 4 buah artikel Bayan Linnas berhubung isu ini petang tadi,” katanya.

Memetik kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa, katanya, “Apa yang lebih membimbangkan ialah masyakarat kita kini langsung tidak mempunyai rasa malu apabila secara terbuka dan terang-terangan membuat pengakuan melakukan maksiat. Tindakan seperti ini bukan sahaja memalukan tetapi menjejaskan kesucian Islam.”

Beliau turut mencadangkan agar semua umat Islam sentiasa bermuhasabah dengan mengingati Allah SWT kerana setiap perbuatan pasti akan diperhitungkan satu persatu oleh Allah SWT.

“Bersempena dengan bulan Syawal yang mulia ini, marilah sama-sama kita bermaaf-maafan dan mencari keredhaan Allah SWT selepas kita disucikan dengan ibadat puasa, zakat fitrah dan qiam pada Ramadhan yang lalu.

“Kepada Datuk Seri Azmin Ali, Haziq Abdul Aziz, sesiapa sahaja yang berkaitan dan seluruh umat Islam di Malaysia, terimalah buah fikiran daripada saya, Zulkifli Mohamad al-Bakri, hamba-Nya yang Maha Mengetahui (al-‘Alim), Maha Melihat (al-Basir), Maha Mendengar (al-Muntaqim) dan Maha Adil (al-Adl).

“Inilah tanggungjawab yang telah saya lunaskan selaku Mufti Wilayah Persekutuan bagi menyampaikan apa yang termaktub dalam al-Qur’an dan al-Sunnah berhubung isu ini,” katanya.

Empat artikel tersebut yang setiapnya bertajuk ‘Peristiwa al-Ifki (Fitnah Terhadap A’isyah RA): Pengajaran Menghadapi Fitnah Semasa’; ‘Bahaya Fitnah’, ‘Isu Qazaf: Adakah Termasuk Tuduhan Liwat?’ dan ‘Tabayyun Dalam Penerimaan dan Penyampaian Berita’ itu disifatkan sebagai tanggungjawabnya sebagai Mufti Wilayah Persekutuan.