Malaysia Dateline

Kepadatan penduduk faktor Selangor catat kes Covid-19 tertinggi

Berdasarkan unjuran Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME), Amerika Syarikat, kes Covid-19 di Malaysia diramalkan akan meningkat sehingga 20,000 jangkitan setiap hari bermula 3 Mac tahun ini.

Walaupun Malaysia dijangka menerima vaksin Covid-19 akhir Februari ini, tetapi persoalannya adakah kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya membendung penularan gelombang ketiga wabak tersebut?

Unjuran itu semestinya merisaukan ramai pihak ditambah pula dengan kelonggaran satu demi satu prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak Majlis Keselamatan Negara.

Oleh sebab itu, kerajaan perlu mengkaji semula indikator yang digunakan dalam proses membuat keputusan dan tindakan mereka dalam usaha menangani krisis kesihatan ini.

Sepertimana diperkatakan Pakar Epidemiologi di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Awang Bulgiba Awang Mahmud, pendekatan sedia ada bagi menentukan kategori zon merah, kuning atau hijau dilihat terlalu simplistik.

Menurutnya, kerajaan perlu menggunakan petunjuk yang lebih baik dalam menentukan kategori zon bagi sesuatu penularan kes Covid-19, dengan bukan hanya berpandukan jumlah kes di sesuatu lokasi terbabit.

“Ketika ini, hanya bilangan kes diguna bagi menentukan sama ada sesuatu daerah itu adalah zon merah, kuning atau hijau.

“Pendekatan itu tidak menggambarkan keadaan sebenar kerana perbezaan ketara dari segi bilangan penduduk serta kemudahan kesihatan sedia ada.

“Selain itu, ia tidak menggambarkan kadar kenaikan kes atau betapa seriusnya penyakit dalam sesuatu kawasan,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Kepadatan di Selangor

Sebagai contoh, Selangor mencatatkan kes positif Covid-19 harian yang tinggi sejak kebelakangan ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor.

Antaranya adalah kepadatan penduduk di negeri tersebut adalah tinggi terutama di kawasan bandar.

Kepadatan penduduk di Selangor menjadi salah satu faktor risiko peningkatan kadar kebolehjangkitan atau penularan Covid-19 khususnya di tempat kerja yang rata-ratanya melibatkan kluster pekerja kilang dan kluster tapak pembinaan.

Contohnya, Selangor telah mencatatkan kes harian baharu tertinggi pada 13 Februari lalu dengan 1,345 daripada keseluruhan 3,515 kes yang dilaporkan diikuti oleh Johor sebanyak 802 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 511 kes.

Sekiranya perbandingan dibuat mengikut nisbah penduduk dan kes jangkitan Covid-19, Selangor bukanlah negeri yang merekodkan kes tertinggi kes Covid-19 pada hari tersebut.

Sebaliknya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan peratusan kadar jangkitan tertinggi iaitu sebanyak 0.030 peratus, diikuti oleh Johor iaitu 0.021 peratus dan Selangor sebanyak 0.020 peratus.

Saranan STFC

Sementara itu, Pengerusi Selangor Task Force Covid-19, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, kerajaan boleh mengambil contoh pengumuman kes harian mengikut sistem laporan di United Kingdom (UK).

Menurutnya, sistem itu mampu melaporkan situasi Covid-19 di setiap wilayah, majlis bandar raya dan daerah di negara itu dengan tepat.

“Hal ini hanya boleh direalisasikan dengan ukuran insiden kes pada setiap 100,000 bilangan populasi, bukan berasaskan bilangan yang mutlak atau kumulatif (absolute or cumulative numbers).

“Dengan ukuran yang diguna pakai secara benchmark (penanda aras) dalam disiplin epidemiologi ini, akan dapati Selangor didahului oleh Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sabah,” katanya.