Malaysia Dateline

Kepekaan jantina perlu ditekankan dikalangan wakil rakyat, kata TPM

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail  mencadangkan  keperluang untuk mewujudkan sesi kepekaan jantina (gender sensitization) dilakukan terutama bagi wakil rakyat agar punca dan kesan keganasan terhadap wanita difahami bersama.

Timbalan Perdana Menteri berkata,  hanya menyalahkan golongan wanita di atas perilaku buruk golongan lelaki adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak boleh diterima.

“Kaum wanita perlu dilindungi daripada jenayah. Bagaimana pula kaum wanita disalahkan kerana menyebabkan berlakunya jenayah terhadap mereka?

“Kedua-dua kaum Adam dan Hawa mempunyai peranan dalam membangunkan negara. Kenyataan seperti ini tiada tempat di sebuah negara yang mendukung prinsip Malaysia Baharu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas tindakan Senator PKR Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid membuat permohonan maaf dan menarik balik cadangan beliau kepada Dewan Negara pada Rabu, supaya diwujudkan akta gangguan seks bagi melindungi kaum lelaki..

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Manusia, Wanita dan Masyarakat, menambah,  sekiranya mempertikaikan wanita sebagai ancaman jenayah kerana etika berpakaian atau cara percakapan adalah tanggapan yang salah dan tidak tepat.

“Saya terima baik tindakan YB Senator Laksamana Pertama Mohamad Imran Abd Hamid menarik balik serta memohon maaf di atas kenyataan beliau semalam.

“Saya sememangnya terkejut dan terkilan apabila membaca kenyataan tersebut.

“Sebagai seorang Senator PKR, seharusnya beliau lebih prihatin dan sensitif akan pendirian parti berkait isu keganasan terhadap wanita, termasuk isu gangguan dan keganasan seksual.

“Para pemimpin politik termasuk wakil rakyat perlu memainkan peranan dalam memastikan kaum wanita malah juga lelaki sentiasa dilindungi dari jenayah seksual,” ujarnya.