Malaysia Dateline

Kepelbagaian kaum jadikan Malaysia unik, kata Presiden AMANAH sempena Krismas

Kepelbagaian kaum dan agama di negara ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik, kata Mohamad Sabu dalam perutusan hari Krismas yang disambut oleh penganut agama Kristian hari ini.

“Kita percaya, kewujudan pelbagai kaum dan agama di negara ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik.

“Walaupun kita berbeza dari segi pegangan agama, namun kita sentiasa menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang kadangkala tercetus di dalam masyarakat,” kata Presiden AMANAH itu sambil mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada masyarakat Malaysia yang menganut agama Kristian.

Kepada masyarakat Kristian yang terbabit dengan bencana banjir, khususnya di Selangor, beliau menzahirkan rasa simpati kerana mereka tidak dapat menyambut perayaan Krismas dengan penuh keceriaan seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Semoga di tahun hadapan keadaan lebih baik buat kita semua,” kata Mohamad dalam perutusan itu.

Penganut Kristian dari seluruh dunia menyambut Hari Krismas hari ini.