Kepentingan penjawat awam bakal terjejas dengan LPPSA

Kepentingan penjawat awam bakal terjejas dengan LPPSA

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tirai 2016 bakal dibuka dengan pengenalan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) di bawah Akta LPPSA 2015 bagi mengambil alih daripada Bahagian Pinjaman Perumahan, Perbendaharaan Malaysia (BPP) berkaitan segala urusan pentadbiran, pengurusan dan pemberian pembiayaan perumahan kepada penjawat awam.

Alasan yang diberikan Timbalan Menteri Kewangan ketika itu Datuk Ahmad Maslan ketika sesi pembentangan Akta LPPSA adalah bagi mengurangkan beban hutang kerajaan. Pembiayaan perumahan bagi penjawat awam bukan lagi tanggungjawab kerajaan.

Selama ini pemilikan rumah oleh penjawat awam dibiayai oleh kerajaan dan biasanya kelulusan adalah mudah dan kepentingan penjawat awam terjamin. Kini, ia dijadikan sebuah badan berkanun.  Namun, beberapa peruntukan dalam Akta ini memberikan kuasa yang cukup luas dan eksklusif kepada Menteri Kewangan untuk menetapkan beberapa perkara dasar yang menimbulkan pelbagai risiko dan kebimbangan.

Seksyen 7(3) memberikan kuasa kepada lembaga menetapkan fi dan caj ke atas perkhidmatan LPPSA. Seksyen 8(2) memberikan kuasa kepada Menteri untuk melantik Pengerusi dan ahli lembaga LPPSA. Ahli lembaga akan dilantik dari kalangan sektor awam dan swasta. Seksyen 11 pula adalah kuasa Menteri bagi membatalkan perlantikan mereka.

Seksyen 21 memberikan kuasa kepada Menteri untuk membuat dasar mengenai kemudahan pembiayaan perumahan penjawat awam. Seksyen 36 pula membolehkan Menteri memberikan apa-apa arahan kepada lembaga LPPSA. LPPSA juga boleh membuat pinjaman dan kuasa ini diberikan kepada Menteri menurut seksyen 32. Seksyen 33 pula memberikan kuasa kepada Menteri untuk membuat pelaburan oleh LPPSA.

Dengan kuasa sebegini luas, adalah dibimbangi ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan keuntungan pihak-pihak tertentu dengan memprejudiskan dan menjejaskan kepentingan dan hak penjawat awam. Ini adalah kerana LPPSA boleh menggunakan semua harta LPPSA mengikut cara yang sesuai dan menggadaikan atau mensekuritikan harta LPPSA bagi tujuan mendapatkan wang atau membuat pelaburan yang bersesuaian di mana rumah milik penjawat awam yang digadaikan kepada LPPSA yang juga dianggap harta LPPSA. Kuasa ini diberikan di bawah seksyen 7(2). Risiko inilah yang paling membimbangkan.

Penubuhan LPPSA adalah satu cara pengkorporatan atau penswastaan satu lagi institusi kerajaan yang sepatutnya melindungi hak dan kepentingan awam. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada nasib rakyat apabila LLN diswastakan dengan penubuhan TNB yang akibatnya rakyat perlu menanggung tarif elektrik yang sentiasa meningkat. Begitu juga dengan penswastaan biasiswa pendidikan dengan penubuhan PTPTN yang telah banyak membebankan anakmuda negara ini yang perlu memulakan kehidupan dengan bebanan bayaran balik pinjaman pendidikan.

Apakah jaminan kadar faedah 4% akan dikekalkan? Kemungkinan kadar faedah sepertimana institusi kewangan berdasarkan BLR akan diimplemenkan tidak boleh ditolak. Kerajaan sering memberikan alasan kenaikan kos bahan api untuk justifikasikan kenaikan tarif elektrik dan perkhidmatan pengangkutan awam. LPPSA bukan lagi institusi kerajaan dan oleh itu apa perlu menjaga kepentingan penjawat awam.

Adakah LPPSA mampu melindungi hak dan kepentingan penjawat awam jika berlaku pertikaian antara pemaju dan pembeli dari kalangan penjawat awam? Adakah keistimewaan di bawah pembiayaan BPP selama ini akan dikekalkan oleh LPPSA?

Dengan kuasa yang luas dan eksklusif kepada Menteri Kewangan, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku. Sudahlah kuasa keselamatan dan ketenteraan bakal dipusatkan kepada PM jika Akta MKN diluluskan dan dikuatkuasakan. Skandal 1mdb melibatkan kuasa penentu individu yang sama di mana Pengerusi 1mdb, Menteri Kewangan dan Perdana Menteri adalah Datuk Sri Najib Razak.

Sehingga sekarang, tiada apa-apa tindakan diambil walaupun pelbagai kes salahurus 1mdb didedahkan termasuk isu hutang RM 42 bilion, kehilangan wang berbillion ringgit, kemasukan RM2.6 bilion ke akaun persendirian PM dan penjualan saham EDRA kepada syarikat asing.

Peminjam perumahan terdahulu juga tidak terlepas daripada risiko-risiko ini kerana seksyen 4 memperuntukan semua harta, hak, kepentingan, obligasi dan liabiliti kerajaan berkaitan dengan pentadbiran pinjaman perumahan penjawat awam sebelum ini akan diletakhakkan atau dipindahhakkan sepenuhnya secara automatik kepada LPPSA.

Selain penjawat awam, profesion peguam juga boleh terjejas di mana hanya panel firma guaman yang dilantik sahaja boleh mengendalikan perjanjian dan dokumentasi pembiayaan perumahan oleh LPPSA. Syarat lantikan panel pula cukup ketat yang mana firma guaman kecil tidak layak dilantik.

Keadaan ini akan menjejaskan pendapatan firma guaman kecil yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Melayu. Jika ini berlaku, ia boleh menambah kepada masalah pengangguran yang kini sudah melebihi 400 ribu di seluruh negara jika langkah retrenchment perlu diambil.

Hak dan kepentingan penjawat awam seharusnya dijaga kerana bakti mereka kepada rakyat dan negara. Majoriti penjawat awam adalah terdiri dari kalangan orang Melayu. Laungan umno kononnya membela nasib orang Melayu hanyalah retorik semata-mata bagi menjamin survival politik mereka. Sedangkan kehidupan rakyat semakin susah dan tiada pembelaan sewajarnya daripada kerajaan pimpinan umno. 

Sebaiknya pembiayaan perumahan bagi penjawat awam dikekalkan di bawah BPP. Janganlah kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiarkan kelaparan.

 

TAGS