Malaysia Dateline

Kejatuhan nilai ringgit menyuramkan ekonomi negara.

Keperluan pelan pemulihan ekonomi dibentangkan segera

Kenyataan terkini Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Mustapha Mohamed yang menyatakan ekonomi negara akan pulih dalam tempoh masa 6 bulan merupakan satu kenyataan yang tidak masuk akal dan ianya wajar disemak semula.

Kita perlu sedar bahawa keadaan pertumbuhan ekonomi yang semakin melarat ekoran wabak Covid-19 ini bukan sahaja dialami oleh Malaysia, malahan ianya turut dialami di seluruh dunia. Jadi prosesnya akan mengambil masa yang lebih lama kerana ia bergantung juga sejauh mana pemulihan ekonomi kuasa-kuasa besar dunia seperti China, Amerika Syarikat dan juga Jepun.

Tambahan pula, pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan sebenarnya bukan pelan jangka masa yang lebih panjang, ianya diperkenalkan hanya sebagai proses mitigasi yang bersifat sementara dan tujuannya hanya untuk menampung kesan dan merangsang keadaan ekonomi yang sedia ada.

Rakyat Malaysia bertambah resah apabila persoalan mengapa Menteri Kewangan mengambil masa yang terlalu lama untuk mengumumkan pelan pemulihan ekonomi yang dijadulkan selepas perayaan Aidilfitri. Sedangkan tempoh kawalan pergerakan sudah berlangsung lebih daripada 2 bulan.

Keadaannya lebih teruk berbanding tahun 1998

Antara krisis kemerosotan ekonomi yang terburuk dalam sejarah negara kita ialah pada tahun 1998 dan 1999. Keadaannya jauh berbeza dengan apa yang berlaku dan dihadapi oleh rakyat ketika ini kerana ianya hanya melibatkan negara-negara Asia khususnya negara ASEAN tetapi di peringkat antarabangsa dan global ianya tidak terkesan.

Proses dan tempoh masa yang diambil oleh kerajaan pada ketika itu sekitar 2 tahun untuk mengembalikan kestabilan ekonomi dalam usaha meningkatkan produktiviti untuk dieksport ke luar negara berdasarkan harga pasaran ketika itu. Ini kerana negara-negara lain tidak terjejas.

Berdasarkan kajian yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara bermula daripada 23 sehingga 31 Mac 2020 ke atas lebih 170,000 responden, ianya telah mendapati bahawa separuh daripada keseluruhan responden tidak mempunyai duit simpanan atau duit poket sama sekali dalam tempoh berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan.

Kemudian, satu pertiga daripadanya pula mengalami penyusutan pendapatan sebanyak 90%. Ini bermakna, jika pendapatan sehari seseorang ketua keluarga itu berjumlah RM100, dia hanya mendapat RM10 sepanjang krisis ini berlangsung.

Secara perkiraan mudah, jika kita padankan hasil daripada kajia tersebut dengan keadaan kegawatan ekonomi pada masa ini, dijangka hampir 2.1 juta rakyat Malaysia akan mengalami risiko hilang pekerjaaan dan punca pendapatan selepas berakhirnya krisis ini.

Pada tahun 1998, hampir 84,000 rakyat yang hilang pekerjaaan dan terkesan ekoran krisis kewangan yang dialami. Ini bermakna, kesannya pada ketika ini menjangkau lebih daripada itu dan dijangka berlipat kali ganda.

Mewujudkan pelan pemulihan nilai matawang tempatan

Kejatuhan nilai matawang negara mendatangkan pelbagai kesan sampingan yang negatif. Walaupun, kita perlu akui bahawa perkembangan ekonomi global mempengaruhi nilai matawang tempatan. Oleh itu, antara fokus utama yang perlu dititik beratkan oleh kerajaan ialah bagaimana kita ingin mestabilkannya agar rakyat Malaysia khususnya para pelajar di luar negara tidak terbeban.

Kerajaan juga boleh mewujudkan satu program khas untuk mengalakkan rakyat dan syarikat pengeluar tempatan membeli serta menjual bahan makanan mentah yang dikawal selia proses dari awal hingga akhir di Malaysia, sekaligus mengurangkan pengunaan kuantiti bahan mentah yang diimport.

Pelan pemulihan nilai matawang ringgit perlu segera dibentangkan dan memperkenalkan satu tempoh sasaran terhadap nilai matawang negara. Selain itu, mengalakkan rakyat membeli dan memanfaatkan produk tempatan bagi merangsang dan meperkukuhkan pertumbuhan ekonomi negara secara dasarnya dari masa ke semasa.

Memperkenalkan sistem subsidi minyak mentah yang baru

Berdasarkan Belanjawan 2020, anggaran pendapatan negara adalah 60 USD setong harga minyak. Walau bagaimanapun, kini nilainya mencecah 20 USD dan berlaku penurunan mendadak sekitar 40 USD. Jika dipadankan secara tahunan, negara kehilangan pendapatan sekitar RM35 bilion. Sambutan yang baik daripada kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini dengan memperkenalkan semula subsidi minyak mentah.

Dalam keadaan aktiviti ekonomi yang berjalan perlahan dan kerajaan kekurangan sumber kewangan, ianya menjadi keperluan buat kerajaan mewujudkan satu sistem subsidi yang baru dengan menghadkan kadar sistem subsidi minyak yang diberikan berdasarkan penggunaan maksima minyak mentah mengikut kadar kemampuan rakyat.

Sebagai contoh, rakyat yang terdiri daripada golongan B40 kadar penggunaan maksima minyak mentah yang disubsidikan berbanding rakyat yang terdiri daripada golongan T20 serta kadar subsidi yang diberikan oleh kerajaan berbeza. I

ni bermakna, jika penggunaan rakyat B40 tidak melepasi had yang ditetapkan, maka harga minyak mentah yang dibayar masih diberikan subsidi sebahagian daripadanya. Data jumlah penggunaan boleh direkod menerusi sistem MyKad secara mingguan dan ianya juga bergantung kepada harga pasaran minyak mentah dunia.

Cukai Kentungan Modal diwujudkan

Sudah tiba masanya, kerajaan memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal ke atas pendapatan yang melebihi RM10 juta setahun. Secara tidak langsung, ianya bukan sahaja fokus kepada penambahan sumber kewangan kerajaan tetapi memantau dan mengawasi jutawan dan orang-orang kaya yang telah mengaut keuntungan yang besar tanpa dikenakan sebarang bentuk cukai.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) telah melaporkan bahawa 2.4 juta pekerja berisiko kehilangan pekerjaan ekoran wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan. Oleh itu, kerajaan perlu mewujudkan satu sistem yang komprehensif tanpa meremehkan soal kesihatan para pekerja.

Sebagai contoh, satu dasar dan polisi perlu dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri sama ada mewujudkan satu suntikan dana atau kewangan bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti produktivit, tanpa meminggirkan peranan dan cadangan daripada pemegang taruh seperti ahli akademik, wakil rakyat, pemimpin masyarakat dan syarikat-syarikat dari pelbagai latar belakang industri.

Kesimpulan

Kerajaan perlu memandang serius terhadap pelan pemulihan ekonomi yang akan diumumkan kelak demi kesejahteraan rakyat dan negara dalam jangka masa yang pendek dan juga panjang. Di samping itu, memberi penekanan soal keberkesanan sistem yang sedia ada agar aktiviti ekonomi dapat dijalankan secara lancar dan berperingkat serta memberi jaminan tidak ada rakyat khususnya para pekerja terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.

——————————————
Penulis adalah Aktivis Mahasiswa Keadilan Malaysia