Kepimpinan baharu Pertubuhan Peladang perlu lebih berintegriti

Kepimpinan baharu Pertubuhan Peladang perlu lebih berintegriti

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) meminta barisan kepimpinan Pertubuhan Peladang di setiap peringkat yang bakal dilantik kelak, memegang prinsip integriti yang tinggi agar tidak berlaku sebarang penyelewengan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata sehubungan itu, mereka yang dilantik akan diberi masa selama enam bulan sebelum dibuat penilaian bagi melihat prestasi setiap daripada mereka.

“Saya tekankan aspek integriti, sesiapa dipilih dalam mesyuarat agung dan sesiapa yang dilantik atas kuasa menteri mesti pelihara integriti sebab ini melibatkan duit rakyat termasuk isu bantu para peladang.

“Saya minta yang dilantik ini benar-benar bertanggungjawab, enam bulan selepas dilantik saya akan buat penilaian terhadap mereka, jadi siapa pun yang duduk disitu mesti berperanan majukan peladang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Warga Tani Daerah Rembau Sempena Memperingati Hari Peladang, Penternak dan Nelayan.

Tambahnya Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) perlulah mampu mewujudkan perniagaan atau aktiviti menguntungkan agar boleh berdiri sendiri sekaligus tidak terlalu bergantung dengan kerajaan.

Salahuddin berkata sektor pertanian ternyata menjanjikan pendapatan lumayan bukan sekadar bagi mereka yang ingin menjadikan ia sebagai profesion baharu tetapi juga turut menyumbangkan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Saya sudah teliti sama ada sektor perikanan, perladangan, buah-buahan, padi dan sektor sayuran sekalipun sebenarnya kita punya potensi.

“Saya juga melihat satu petanda yang baik atau fenomena dalam lawatan saya ke seluruh negara  dimana pertanian sudah mula jadi pilihan anak muda yang ingin bekerjaya dan mereka yakin semua sektor dalam pertanian menjanjikan pendapatan yang lumayan sekiranya mereka benar-benar fokus,” katanya.

— BERNAMA