Kepimpinan Melayu dan al-Quran

Kepimpinan Melayu dan al-Quran

Ramadhan tiba lagi. Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur.

Ramadhan adalah bulan Al Qur’an: Penurunannya, pembacaannya, pengkajiannya dan penghayatannya.

Ummat Melayu di Malaysia dianugerahkan dengan tampuk kepimpinan negara. Mereka adalah tonggak kepimpinan di pelbagai peringkat, sampai yang tertinggi.

Dari se hari ke sehari, semacam terdapat rasa terancam di kalbu orang Melayu tentang kedudukan mereka sebagai tonggak kepimpinan negara. Atau mereka perlu kembali kepada kepompong keMelayuan melebihi keIslaman.

Mereka merasa seakan boleh kehilangan kuasa politik yang mereka nikmati selama ini.

Kenapa?
Apakah yang menyebabkan hakisan kekuatan kepimpinan mereka?
Adakah ancaman itu datang dari luar diri orang Melayu atau berpunca dari dalam diri mereka sendiri?
Adakah kepimpinan Melayu dan masyarakat Melayu telah menghayati Al Qur’an, untuk menjadikan kepimpinan dan kedudukan mereka kukuh dan dihormati?

Atau adakah kerana mereka sebenarnya telah mengabaikan petunjuk Al Qur’an sehingga menyebabkan nikmat yang diperolehi selama ini akan ditarik semula oleh Allah s.w.t?

Perlukah kepimpinan Melayu menilai diri mereka berdasarkan ajaran Al Qur’an untuk mengembalikan kekukuhan kepimpinan mereka?

Apakah ajaran-ajaran Al Qur’an berkait dengan kepimpinan dan berkerajaan?
Adakah ajaran-ajaran itu telah dipatuhi?
Jika ajaran-ajaran itu tidak dipatuhi, adakah wajar menyalahkan pihak lain atas kemerosotan kedudukan kepimpinan Melayu?

Jika ajaran-ajaran itu diikuti dan kepimpinan Melayu menjadi kuat dan dihormati, adakah itu tidak akan membawa rahmat kepada semua rakyat, termasuk orang bukan Melayu?

Al Qur’an memimpin.
Al Qur’an membawa rahmat kepada semua rakyat.
Al Qur’an menganjurkan menegakkan keadilan: hukum dan peradilan, ekonomi dan sosial.
Al Qur’an menganjurkan kasih sayang sesama manusia.
Al Qur’an menganjurkan hubungan baik antara kaum.
Al Qur’an menganjurkan perpaduan berteraskan kebenaran, keadilan, kemakrufan dan kesentosaan bersama.
Al Qur’an membela rakyat dan kumpulan yang lemah, miskin, menderita, tertindas, anak yatim dan wanita.
Al Qur’an mensyaratkan pemimpin mestilah beramanah, jujur, dipercayai, berwibawa, adil dan kuat.
Al Qur’an menganjurkan kemajuan, keamanan, pembangunan sumber dan perlindungan nyawa, harta benda, kehormatan dan kebebasan.
Al Qur’an menghilangkan ketakutan dan mengutamakan kedamaian.
Al Qur’an menganjurkan kemajuan ekonomi yang setara dan pengurangan jurang kekayaan.
Al Qur’an menganjurkan mengutamakan kelayakan tanpa menimbulkan kepincangan kepada yang kurang berkemampuan
Al Qur’an menggalakan inovasi, kreativiti, kemodenan, daya saing dan idea dan kontribusi yang merancakkan kehidupan.
Al Qur’an menerima kebaikan dari mana jua dan menolak keburukan.
Al Qur’an tidak memaksakan satu cara hidup tertentu ke atas pihak yang lain.
Al Qur’an mengajak manusia berakhlak dengan akhlak yang baik.
Al Qur’an meminta ummat manusia berpendidikan, berilmu, berfikir dan berdaya saing.
Al Qur’an meraikan perbezaan manusia: kebolehan, latar belakang, taraf pendidikan, berlainan keturunan, ext
Al Qur’an menolak pemimpin yang korup, kejam, menjual agama, gilakan dunia dan membawa keburukan.
Al Qur’an melarang pendewaan terhadap pemimpin, ketaksuban melampau dan ketakutan untuk menegur dan mengkritik.
Al Qur’an menolak kemudharatan dan mengutamakan kemaslahatan.

Seribu satu petunjuk kepimpinan dan bernegara yang diajar oleh Al Qur’an.

Jika pempimpin dan ummat Melayu beriltizam dengan Al Qur’an, adakah kepimpinan mereka menjadi lebih kuat atau lemah?

Ketika Al Qur’an dan tampuk kekuasaan sudah berada di tangan pemimpin Melayu, mengapakah ia disia-siakan dengan mengabaikan ajaran dan petunjuknya?

Jika begitu, sia-sialah Ramadhan datang setiap tahun. Melainkan pemimpin dan ummat Melayu menjadikan Al Qur’an pembimbing mereka yang utama.

Kayu ukur yang menilai kepimpinan bangsa mereka Melayu. Dan ummat Melayu berpegang dengan ajaran Al Qur’an & As Sunnah dan hanya menyanjung pemimpin Melayu yang berpegang dengan cara hidup dan bernegara berdasarkan ukuran Al Qur’an.

Salam Ramadhan dan bersama kita menghayati Al Qur’an.

DATUK HUSAM MUSA adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Salor

CATEGORIES
TAGS