Malaysia Dateline

Kepimpinan muda AMANAH pelbagai peringkat kecam pengkhianatan Hasnul

Sekurang-kurangnya 12 kenyataan media daripada kepimpinan muda AMANAH pelbagai peringkat menyelar tindakan Ketua Pemudanya, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mengumumkan keluar parti, sekali gus meninggalkan Pakatan Harapan (PH).

Rata-ratanya menganggap keputusan Hasnul yang juga Adun Titi Serong dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri dalam kerajaan PH Perak sebelum ini sebagai perbuatan khianat.

Selain kenyataan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin; Setiausahanya, Muhamad Fadzil Ahamad dan bekas Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Wan Anwar Wan Ibrahim juga bersuara.

Turut membidas tindakan Hasnul mengisytiharkan dirinya sebagai Adun Bebas di Perak ialah Wanita Muda AMANAH (WARDA) Nasional yang menyifatkannya tidak berprinsip dan mementingkan jawatan daripada mempertahankan maruah dan mandat rakyat.

Keputusan Hasnul menyokong kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional (PN) juga menerima sanggahan ketua-ketua Pemuda AMANAH Negeri.

Antara terawal memberi kenyataan rasmi ialah Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Muhammad Fauzi Hasim; Ketua Pemuda AMANAH Johor, Taqiuddin Cheman dan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Sembilan, Mohd Hanis Alimin.

Bahkan, Pengerusi Mahasiswa AMANAH Nasional, Amin Mubarak serta Ketua Pemuda AMANAH Shah Alam, Firdaus Mokhtar juga membantah keras pengkhianatan yang dilakukan oleh Hasnul.

Untuk rekod, Hasnul kini bukan lagi ahli AMANAH seperti diputuskan pucuk pimpinan AMANAH melalui mesyuarat tergemparnya petang semalam.

“Namun begitu, ditegaskan bahawa tindakan beliau ini tidak akan memberi apa-apa kesan kepada AMANAH dari segi kekuatan dan maruah.

“Kami akan terus berdiri teguh bersama Pakatan Harapan,” tegas Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Abd Samad.