Malaysia Dateline

Kepincangan nyata kerajaan yang terus berdiam terhadap isu gangguan seksual

Tindakan kerajaan yang seolah-olah tidak bertindak terhadap masalah gangguan seksual dianggap sebagai kepincangan nyata terhadap perkara penting yang sebenarnya perlu diperdebatkan.

Ketua Pejuanita Muda, Dr Nurul Ashikin berkata, sehingga hari ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diterajui Dr Radzi Jidin sama sekali tidak mengeluarkan kenyataan tegas berhubung laporan seorang guru menggunakan jenaka rogol ketika mengajar.

Katanya, walaupun menggunakan saluran media sosial untuk menularkan sesuatu insiden untuk mempercepat tindakan, tetapi pada akhirnya ia bergantung pada kerajaan.

“Bila mereka buat aduan, cara layanan pihak berkuasa dan jawapan diberikan mendorong kepada faktor sama ada mangsa mahu meneruskan kes tersebut atau tidak.

“Isu gangguan seksual ini perlu disusuli dengan campur tangan kerajaan supaya mereka yang tangani kes gangguan seksual tidak terlalu menghukum dan ‘judgemental’,” katanya dalam satu siaran langsung di Facebook Sumber Kini hari ini.

Nurul Ashikin juga menegaskan, stigma menyalahkan mangsa gangguan seksual tidak hanya berlaku di negara-negara membangun, bahkan turut terjadi di negara maju seperti Jepun.

Beliau mengakui, stigma masyarakat yang cenderung menyalahkan mangsa dan pakaian yang dipakai menyebabkan ramai dalam kalangan wanita malu untuk menyuarakan permasalahan mereka.

Jelasnya, untuk menangani masalah dalam mendekati mangsa gangguan seksual, satu pendidikan dan latihan menyeluruh perlu dilakukan yang melatih para pengendali untuk mengetahui bagaimana psikologi bercakap dengan mangsa.

Selain itu katanya, guru di sekolah perlu dilatih bagaimana untuk mengendali pelajar yang mengalami gangguan seksual tanpa bersikap menghukum.

Mengulas tentang Rang Undang-Undang Gangguan Seksual yang masih lagi belum dilaksanakan, beliau berkata, sebelum ini beberapa kali Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) didesak untuk menguatkuasakan RUU berkenaan.

Jelasnya, akta tersebut telah pun berada di peringkat akhir semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), namun perkara itu disenyapkan selepas Perikatan Nasional (PN) mentadbir biarpun beberapa isu terkait masalah berkenaan tercetus sebelum ini.

“Kita membangkitkan kembali akta gangguan seksual ini. Saya banyak buat hantaran sehingga viral waktu itu tapi pada penghujungnya, hal itu jadi senyap.

“Apabila senyap dan tak diperdebatkan, kita tak tahu apa yang perlu ditambah baik dalam RUU berkenaan.

“Apa yang saya nampak, kita perlu berterusan buat bising baru mereka nak dengar. Jika tidak, tiada penambahbaikan. Penangguhan ini terjadi apabila tak ada kesungguhan politik dari kerajaan,” katanya lagi.