Kepintaran MPN dipertikai

Kepintaran MPN dipertikai

Pemikir Parti AMANAH Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, Majlis Professor Negara (MPN) dilihat mengeluarkan kenyataan tanpa memikirkan kesan negatif pada masa panjang.

Perkara itu dinyataka berikutan kenyataan MPN berkenaan dengan cadangan agar membubarkan Dewan Rakyat adalah tidak masuk akal.

Dr Mohd Zuhan Mohd Zain

Kata Zuhan, sekiranya semudah itu untuk pembubaran Dewan Rakyat boleh dilakukan, ia akan membuka peluang perkara yang sama akan berlaku di masa hadapan dan ia akan mengundang permasalahan dari segi pentadbiran.

“MPN sepatutnya memikirkan kesan negatif dari kenyataan mereka bukan bercakap dengan hanya berlandaskan maklumat yang sempit.

“Dari soal ekonomi, MPN harus memberikan idea bukan mengkritik kelemahan kerajaan yang mereka nampak. Berilah peluang kepada kerajaan PH memperbetulkan keadaan sebelum melemparkan idea yang tidak munasabah.

“Seharusnya MPN perlu menjaga taraf mereka dan tidak usah mengambil sikap seperti mereka yang tidak berilmu bercakap mengikut emosi,” katanya.

Beliau yang merupakan Ahli Majlis Perbandaran Kluang (MPK) berkata, setakat ini ekonomi negara dilihat semakin baik dan usaha kerajaan hari ini adalah untuk menjadikan rakan serantau sebagai rakan strategik ekonomi.

Tambahnya, usaha kerajaan untuk membantu rakyat juga dilihat semakin jelas dengan penurunan kadar perkhidmatan tol serta mengawal harga komoditi sawit agar terus stabil dalam harga yang tinggi.

“Selain itu kita dapat lihat tawaran kerajaan dalam pendidikan yang mula mengambil pendekatan tulisan jawi dari sebelum ini tidak ada langsung dan kerajaan juga telah menyelesaikan permasalahan guru-guru yang terpaksa berpisah atas dasar kerja dan sebagainya.

“Mereka (MPN) perlu melihat lebih dalam lagi jangan bercakap di awang-awangan dalam soal pentadbiran. Peralihan kuasa yang akan dibuat selama ini tidak mendatangkan apa-apa permasalahan pun dan ia perlulah dibuat dengan cara baik,” katanya.

Zuhan turut membidas kenyataan MPN yang selama ini bersuara dengan berat sebelah tanpa mengambil secara umum.

“Untuk golongan pendalaman seperti hujah mereka (MPN), kerajaan telah mengadakan reformasi peladang, pembangunan nelayan serta tindakan kepada mereka yang menggunakan ‘bubu naga’ yang menguntungkan pihak nelayan kecil.

“Semua ini kerajaan usahakan untuk membantu semua golongan termasuk peluang pertanian kepada anak muda untuk menceburi bidang tersebut agar mereka tidak bergantung kepada peluang perkerjaan semata.

“MPN perlu menjadi matang dalam mengeluarkan kenyataan bukan emosi seperti setengah pihak tanpa berfikir dengan waras seorang ahli akademik,” katanya lagi.

Terdahulu, MPN menggesa kerajaan supaya membubarkan Parlimen sekiranya isu peralihan kuasa gagal dimuktamadkan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Profesor Datuk Dr Raduan Che Ros, menegaskan kerajaan perlu segera menyerah kembali mandat kepada rakyat sekiranya isu peralihan kuasa antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dimuktamadkan.