Malaysia Dateline

Kepulangan ‘Equanimity’ detik baharu PH siasat skandal 1MDB, kata AMCJL

Kepulangan kapal layar mewah Equanimity mewah yang dipercayau milik Jho Low ke negara ini, semalam, satu detik baru dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang begitu komited mahu menyiasat skandal mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Demikian dinyatakan oleh Faiz Fadzil yang merupakan wakil Anak Muda Cari Jho Low atau AMCJL.

Menurut Faiz lagi, kepulangan ‘Equanimity’ merupakan satu ‘milestone’ sebuah kerajaan baru yang berasaskan prinsip integriti dan ‘good governance’.

Malah katanya, siasatan ke atas skandal 1MDB akan membuka satu petunjuk baru kepada pasukan penyiasat SPRM untuk menyiasat secara holistik skandal mega tersebut.

“AMCJL menyokong penuh kenyataan kerajaan untuk melelong bot mewah tersebut setelah siasatan dan prosiding kes ini selesai kelak.

“Hasil lelongan tersebut perlu dikembalikan kepada rakyat kerana perolehan bot mewah ini adalah hasil pengubahan wang haram yang diseleweng daripada dana 1MDB.

“Sehubungan itu, pemburuan keatas Jho Low perlu dilipatgandakan bagi membolehkan siasatan dan pendakwaan terhadap Jho Low dilakukan seberapa segera, ” ujarnya lagi.

Beliau juga berkata, pembayaran hutang 1MDB oleh kerajaan sebanyak RM7 bilion adalah bukti kerugian serius yang ditanggung oleh rakyat.

Justeru itu tambahnya, pilihan yang dibuat rakyat dalam pilihan raya umum ke 14 yang lalu adalah tepat sama sekali.

“Sudah pasti kepulangan bot mewah ini adalah atas kehendak rakyat yang menolak Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang terpalit dengan skandal 1MDB.

“Usaha yang diambil oleh AMCJL selama ini dalam menyedarkan rakyat berkaitan jenayah curi Jho Low termasuk isu ‘Equanimity’ melalui wacana, forum dan perhimpunan aman pada 14 April yang lalu tidak sia-sia.

“Tuntutan ‘Equanimity’ oleh 1MDB menyangkal dakwaan Najib yang selama ini cuba menafikan kapal mewah tersebut dibeli dengan menggunakan dana 1MDB, ” tegasnya lagi.

Faiz yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional turut berkata, sebagai Pengerusi 1MDB, adalah mustahil apabila Najib mendakwa tidak mengetahui segala urusan 1MDB yang memerlukan kelulusan dan tandatangan beliau selama ini.

Oleh kerana itu katanya, kepulangan kapal mewah ini akan membuka luas dan memudahkan segala kemelut yang tidak dapat dirungkai sejak sekian lama membabitkan dana serta skandal 1MDB.