Malaysia Dateline

Keputusan Adib: PAS, Umno gesa peguam negara letak jawatan

Peguam Negara, Tommy Thomas didesak meletakkan jawatannya susulan keputusan Mahkamah Koroner hari ini yang memutuskan Muhammad Adib Mohd Kassim mati akibat perbuatan jenayah.

Timbalan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shari dan Exco Pemuda Umno, Muhammad Faiz Hashim bersama menuntut Tommy Thomas untuk berhenti atau bercuti daripada menjalankan tugasnya sehingga satu tempoh keadilan untuk Adib dicapai.

Peguam Negara juga digesa untuk tidak membuat rayuan permohonan terhadap keputusan inkues tersebut.

“Pemuda Pas desak polis tingkatkan siasatan dengan memanggil semula tertuduh yang dilepaskan.

“AG tak perlu membuat permohonan semakan semula atau rayuan terhadap keputusan inkues.

“Kami menggesa pihak polis meningkatkan siasatan dengan memanggil semula tertuduh yang pernah dilepaskan dan memulakan proses pendakwaan mahkamah,” katanya pada sidang media di luar hadapan Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Mahkamah Koroner hari ini memutuskan punca kematian Adib akibat perbuatan pihak ketiga yang menyerang dan memukul beliau dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 pada 27 November tahun lalu.

Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues kematian Adib memutuskan perkara itu setelah berpuas hati dengan keterangan saksi sepanjang siasatan berjalan.

Dalam pada itu, Fadhli juga meminta Exco Selangor V Ganabatirau supaya didakwa dan dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa sebagai pencetus rusuhan.

“Hari ini kebanyakan rakyat menganggap inkues sebagai tidak lebih daripada mengaburi mata dan menutup kelemahan mencari pembunuh sebenar Adib.

“Jadi, keputusan inkues ini sebetulnya melegakan hati rakyat dan mengembalikan keyakinan pada institusi mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno, Faiz berkata isu Adib ini bukan satu perkauman sebaliknya melibatkan keadilan dan kemanusiaan.

“Mengenai peguam negara, saya setuju dengan Fadhli dan kita pandangan peguam negara perlu letak jawatan dan paling kurang direhatkan,” katanya.