Malaysia Dateline

bazar ramadan

Keputusan Bazar Ramadan, kerajaan Johor terus menyepi

Kerajaan Johor hari ini ditempelak ekoran bertindak mendiamkan diri tanpa ada sebarang keputusan berkenaan operasi Bazar Ramadan di negeri itu.

Perkara itu telah disuarakan oleh Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Abd Hamid Jamad yang mendakwa kerajaan seharusnya mendepani isu tersebut bukan hanya mendiamkan diri dan membuatkan umum tertanya-tanya.

Katanya, kerajaan juga dinasihatkan segera mengambil tindakan menyelamatkan peniaga-peniaga yang telah pun membuat persiapan bagi memulakan perniagaan mereka di bulan Ramadan nanti.

“Kita dapat lihat betapa sepinya kerajaan dalam isu ini dan ini suatu perkara yang tidak cekap dalam pentadbiran telah berlaku.

“Semalam ucapan titah Tuanku Sultan Johor telah menyatakan bahawa penganjuran Bazar Ramadan untuk tahun ini tidak sesuai susulan penularan wabak Covid 19.

“Tuanku Sultan Johor dilihat lebih menumpukan kepada nasib rakyat dari mengharapkan kerajaan yang sehingga hari ini membisu dalam keputusan isu penganjuran Bazar Ramadan,” ujarnya.

Beliau turut menyokong kenyataan dari Tuanku Sultan Johor yang menyatakan bahawa penganjuran Bazar Ramadan akan dikhuatiri membawa kesan kepada wabak Covid 19 secara berleluasa dan akan memberikan kesan kepada usaha membasmi wabak tersebut.

Sehubungan dengan itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Johor, Noor Khalim Sakib berkata beliau bersetuju serta menjunjung titah Tuanku Sultan Johor dalam isu pembatalan penganjuran Bazar Ramadhan untuk tahun ini.

Katanya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Johor harus memutuskan tindakan sewajarnya di dalam meluluskan Bazar Ramadhan serta Expo Hari Raya di seluruh negeri.

“Fokus kita hari ini adalah untuk menyelesaikan isu berbangkit seperti yang diusahakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kita harus memberikan sokongan yang baik.

“Selain itu, nasib golongan peniaga juga perlu dibela dengan kerajaan perlu menyediakan platform untuk mereka berniaga seperti perniagaan atas talian untuk peniaga yang terkesan dapat menjual barangan mereka.

“Tindakan efektif dengan menyediakan ruang perniagaan atas talian oleh kerajaan perlu diusahakan dengan kadar segera agar peniaga tidak tercicir dengan keadaan yang pastinya akan merugikan mereka,” katanya.

Sebelum ini pada 18 Mac 2020, cadangan untuk kerajaan Johor mempertimbangkan untuk menangguhkan Bazar Ramadan telah disuarakan oleh Pemikir Parti Amanah Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain dalam satu kenyataan beliau.