Malaysia Dateline

Keputusan bedah siasat Muhammad Adib siap dalam tempoh satu bulan

Laporan penuh bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dijangka siap dalam tempoh satu bulan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata tempoh tersebut diperlukan jika ahli patologi berpendapat ujian darah perlu dilakukan dan mengikut kelaziman, keputusan mengambil masa kira-kira satu bulan.

Bagaimanapun, menurut Dr Lee sekiranya laporan kecederaan sudah mencukupi untuk mengetahui punca sebenar kematian, maka ujian darah tidak diperlukan.

“Ahli patologi akan tahu sama ada perlu atau tidak untuk menjalani ujian darah untuk kesinambungan kecederaan yang dialami oleh Adib,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program gotong-royong di Kampung Rapat Jaya Tambahan di sini hari ini.

Muhammad Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba Subang Jaya cedera parah dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember  lalu. -BERNAMA.