Malaysia Dateline

Keputusan bina terowong dasar laut Pulau Pinang selepas hasil laporan kajian

Keputusan melaksanakan pembinaan terowong dasar laut dari Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai adalah selepas hasil laporan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut dimuktamadkan oleh syarikat konsesi, Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC).

Exco Pengangkutan dan Infrastruktur, Zairil Khir Johari, berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Yusni Mat Piah (PAS-Penaga) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.

Menurutnya, projek Terowong Dasar Laut adalah satu daripada komponen kerja di bawah Projek Jalan-jalan Utama dan Terowong Dasar Laut di Pulau Pinang yang dilaksanakan oleh CZC.

Jelasnya, pihak CZC dijangka memuktamadkan laporan kajian kebolehlaksanaan itu dalam suku keempat tahun 2020.

“Sekiranya kerajaan negeri memutuskan untuk melaksanakan projek terowong dasar laut berdasarkan hasil laporan kajian kebolehlaksanaan, laporan kajian impak alam sekitar (EIA) akan disediakan untuk penilaian dan kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.

Katanya pihak CZC telah mengemukakan draf laporan kajian kebolehlaksanaan Projek Terowong Dasar Laut pada 6 September 2019 kepada kerajaan negeri setelah diteliti oleh pihak jurutera perunding bebas yang dilantik kerajaan negeri.

“Draf laporan itu kini sedang ditambah baik berdasarkan ulasan yang diterima oleh pelbagai pihak berkepentingan dan sedang dipantau oleh Jawatankuasa Kerja Teknikal Kerajaan Negeri dalam beberapa siri mesyuarat sejak bulan November 2019,” katanya.

Projek terowong sepanjang 7.2 kilometer itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai itu adalah di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.