Keputusan dah ada, Cikgu Fadli dikenakan tindakan atau tidak akan diketahui esok

Oleh KIM SYAZIE

Selesai mesyuarat Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan hari ini, Datuk Radzi Jidin memberitahu bahawa hasil keputusan akan diserahkan kepada Cikgu Mohd Fadli Salleh esok.

Radzi Jidin yang juga Menteri Kanan Pendidikan berkata, beliau baru dimaklumkan bahawa mesyuarat Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan baru tamat sebentar tadi.

Katanya, keputusan itu akan diserahkan oleh lembaga tatatertib itu kepada ketua jabatan guru matematik berkenaan.

“Pihak urusetia di lembaga berkenaan akan sampaikan keputusan mesyuarat kepada ketua jabatan Mohd. Fadli.

“Insya-Allah, esok beliau (Mohd. Fadli) akan menerima keputusan itu,” katanya yang ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu Mohd Fadli mendakwa mendapat surat tatatertib yang isinya memberitahu bahawa dia akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat.

Susulan itu Radzi Jidin dalam hantaran di Facebook memuatnaik status yang menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan guru berkenaan.

Sementara itu pada semalam juga, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali dilaporkan berkata, lembaga tatatertib dijadualkan bersidang hari ini selepas menerima surat representasi yang dikemukakan oleh Mohd Fadli pada Jumaat lalu.

Pkharuddin berkata, surat yang diterima Mohd Fadli tidak membawa maksud hukuman sudah dijatuhkan lembaga berkenaan.