Keputusan gantung jawatan Muhyiddin berat sebelah, cemar imej Umno

Keputusan gantung jawatan Muhyiddin berat sebelah, cemar imej Umno

Keputusan sebulat suara Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno menggantung Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Presiden Umno semalam dilihat sebagai satu proses demokrasi berat sebelah yang boleh menjejaskan reputasi parti.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Keputusan sebulat suara Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno menggantung Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Presiden Umno semalam dilihat sebagai satu proses demokrasi berat sebelah yang boleh menjejaskan reputasi parti.

Keputusan menggantung jawatan bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga akan turut menjejaskan reputasi parti khususnya dalam krisis membabitkan Muhyiddin dan Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Dr Siva Murugan PandianPensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr. Sivamurugan Pandian berkata, Muhyiddin harus diberi peluang untuk mempertahankan dirinya daripada usul yang dicadangkan ahli MT untuk memecat beliau daripada memegang jawatan Timbalan Presiden.

“Beliau harus diberikan peluang untuk mempertahankan jawatannya untuk membela diri supaya pendemokrasian dalam parti dihormati malah tidak dilihat berat sebelah dan boleh menjejaskan reputasi parti yang akan menjadi lebih teruk,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Keputusan sebulat suara ahli-ahli MT itu dibuat dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Namun Muhyiddin tidak hadir dalam mesyuarat itu kerana dilaporkan berada di luar negara.

Ahli MT sebulat suara membuat keputusan menggantung jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden parti berkuat kuasa serta merta semalam.

Pengumuman berhubung perkara tersebut dibuat Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Mansor.

Dr Sivamurugan berkata, ahli MT dan Muhyiddin harus mengambil pendekatan musyawarah dalam suasana politik yang lebih harmoni dalam menghadapi krisis dalaman parti.

“Saya tidak nafikan usul yang dibawa ke dalam mesyuarat MT itu salah satu proses demokrasi, namun jika Muhyiddin diberikan peluang untuk membela diri terlebih dahulu, sebelum usul dikemukakan dan keputusan sebulat suara diambil, menunjukkan demokrasi itu berlangsung secara dua hala.

“Ramai yang akan mempersoalkan keputusan dibuat MT dan Umno. Umno perlu melihat kesan jangka panjang dan pendek terhadap keputusan pengantungan jawatan Timbalan Presiden itu.

“Ini kerana Umno sudah lalui pelbagai dugaan. Sesuatu keputusan yang jitu dan rasional perlu diambil kira dalam suasana persekitaran politik hari ini terhadap krisis keyakinan pemimpin,” ujarnya.

Dalam sidang media semalam, Tengku Adnan turut mengumumkan bahawa Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas-tugas timbalan presiden.

Jawatan Muhyiddin sebagai Ketua Umno Bahagian Pagoh masih kekal.

TAGS