Malaysia Dateline

Keputusan inkues Adib esok

Mahkamah Koroner Shah Alam dijangka membuat keputusan berhubung inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim esok.

Seramai 30 saksi inkues memberi keterangan sepanjang prosiding 41 hari bermula 11 Februari lalu walaupun kerajaan mengumumkan mengenai penubuhan inkues pada 27 Disember 2018.

Mereka termasuk saksi awam di tempat kejadian, rakan setugas si mati, angggota pasukan kselamatan serta kakitangan dan saksi pakar seperti ahli perubatan yang merawat Allahyarham Adib.

Antara yang menarik perhatian ialah saksi inkues ke-24, Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang memberitahu pada 24 Mac lalu bahawa kecederaan Adib tidak padan dengan kecederaan dipukul.

Bagaimanapun, kenyataan saksi inkues ke-29, bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi, Prof Dr Shahrom Abd Wahib pada 9 April lalu menghangatkan lagi proses inkues.

Dr Shahrom menyatakan Adib kemungkinan ditarik keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan terhimpit antara dua pintu sebelum dihentak hingga menyebabkan tujuh tulang rusuknya patah.

Kejutan selanjutnya apabila peguam Syazlin Mansor menarik diri daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada hari ke-37 prosising.

Tindakannya itu selepas mendakwa menerima tekanan pihak tertentu. Walau bagaimanapun, Syazlin masih mewakili keluarga Adib dalam prosiding tersebut.