Malaysia Dateline

Keputusan inkues permulaan keadilan buat Adib, kata peguam

Peguam, Mohd Kamaruzaman A Wahab akan menyerahkan tindakan selanjutnya kepada pihak polis dan Peguam Negara (AG) untuk mencari penjenayah yang menjadi punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim yang diputuskan mahkamah akibat perbuatan jenayah.

Beliau yang mewakili keluarga Muhammad Adib berkata, keputusan mahkamah hari ini telah membuktikan bahawa punca kematian Muhammad Adib akibat dipukul dan bukannya satu kemalangan.

Jelasnya, keputusan inkues hari ini merupakan pemulaan kepada keadilan untuk Muhammad Adib.

“Pada hari ini mahkamah koroner telah membuat keputusan dimana koroner mengatakan, berdasarkan keterangan saksi, keterangan pakar, dan adanya ‘dying deklarasi’ pada si mati membuktikan bahawa si mati telah dipukul dan ini mengakibatkan ajal.

“Jadi seterusnya kami daripada peguam pihak keluarga meminta pihak polis dan pihak AG bertindak untuk menangkap penjenayah-penjenayah dan mendakwa mereka di mahkamah.

” Kami juga mengambil peluang berterima kasih kepada pakar yang hadir membantu menjayakan inkues ini. Tapi inkues ini bukan lah penamat, ini lah permulaannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan Mahkamah Tinggi & Rendah Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, peguam Syazlin Mansor yang turut hadir hari ini, mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak membantu memberi sokongan menjayakan inkues tersebut.

Beliau berkata, pihaknya berpuas hati dengan keputusan yang diumumkan mahkamah koroner yang memberi keadilan kepada anggota bomba tersebut.

“Saya memang berpuas hati pada keputusan hari ini dan juga merakamkan terima kasih pada Prof Dr Shahrom Abd Wahid (Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom) dan Dr Amir Radzi Ab Ghani (Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan UiTM).

“kedua-dua saksi pakar ini sanggup memberikan keterangan yang benar di mahkamah dan secara percuma.

“Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang memberi sokongan penuh dan mendoakan keadilan Muhammad Adib dapat ditegakkan,” ujarnya.