Keputusan kelulusan parti Putra akan didengar pada 9 Mei depan

Keputusan kelulusan parti Putra akan didengar pada 9 Mei depan
(dari kiri) Datuk Dr Ibrahim Ali bersama peguam yang mewakilinya Mohd Khairul Azam Aziz di lobi mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 9 Mei depan untuk mendengar permohonan Datuk Dr Ibrahim Ali memfailkan satu tindakan semakan kehakiman kepada Ketua Pengarah Pertubuhan kerana gagal memberikan sebarang keputusan terhadap permohonan defenden untuk menubuhkan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Peguambela Mohd Khairul Azam Aziz yang mewakili Ibrahim berkata, peguam persekutuan yang mewakili Peguam Negara telah mengemukakan dua bantahan terhadap tuntutan Ibrahim bagi menuntut organisasi itu diluluskan oleh Ros.

“Pertama mereka katakan keputusan masih belum dibuat dan tindakan memohon kebenaran kehakiman terhadap RoS adalah tindakan pra matang.

“Keduanya peguam negara mempersoalkan bagaimana boleh pihak pemohon memohon perintah mendamus untuk mengarahkan ketua pengarah pertubuhan untuk daftarkan parti putra.

“Selepas mahkamah mendengar hujahan dua pihak, mahkamah memutuskan untuk menangguhgkan proses pemberian kebenaran oleh RoS kepada tarikh 9 Mei depan,” ujar dalam satu kenyataan hari ini selepas prosiding dilakukan yang turut dihadiri bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu.

Menurut Mohd Khairul lagi, pada masa sama mahkamah turut menasihatkan kedua pihak menyelesaikan mengenai proses pendaftaran pertubuhan parti Putera tanpa perlu membabitkan mahkamah.

“Mahkamah juga mengambil maklum berkaitan piagam pelanggan yang telah dikemukan oleh pihak pendaftar pertubuhan yang menjanjikan proses kelulusan kebiasaannya mengambil masa lima hari bekerja.

“Hakim menyatakan bahawa pendaftar pertubuhan tidak boleh memberikan janji yang tidak boleh dipenuhi. Sepatutnya mereka bersedia membuat keputusan dalam tempoh lima hari.

“Pada masa sama mahkamah turut menasihatkan Ibrahim sekali lagi menghantar notis undang-undang yang dihantar melalui Jabatan Peguam Negara untuk diserahkan kepada Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan untuk memberikan masa kepada RoS membuat keputusan sama ada meluluskan atau tidak meluluskan mengikut Seksye 7 Akta Pertubuhan 1960,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun katanya, diisebabkan proses ini telah difailkan di mahkamah pihak defenden tidak menarik balik permohonan.

“Kita telah buat melalui mahkamah. Kita harap pada 9 Mei 2019 kebetulan ulang tahun pertama kerajaan PH maka kita mengharapkan pada tarikh 9 Mei itu parti Putra boleh mendapat kelulusan daripada kerajaan PH yang dikatakan demokratik dan mempertahankan rules of law,” ujarnya.

Ibrahim yang merupakan Pengerusi Penaja parti berkenaan turut berkata, beliau berkata pihaknya membawa kes permohonan kebenaran kehakiman kerana RoS ujarnya, tidak memberikan sebarang jawapan setelah enam bulan permohonan dibuat ke Ibupejabat pertubuhan.

“Kami yang terlibat dalam penubuhan Putra amat dukacita dan sedih kerana menunggu lama menyebabkan kita bawa ke mahkamah.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersama dengan kami berdoa agar Putra diluluskan supaya Putra juga boleh memain peranan dalam pembinaan negara kita dalam semua aspek.

“Ini kerana jika dulu parti Bersatu ditubuh makan masa 1 bulan tapi dalam PH enam bulan tiada jawaban. Saya mendesak dan merayu kerajaan PH dan pendaftar pertubuhan mengikuti saluran rules of law,” ujarnya.

Pada 15 Mac lepas Ibrahim mengemukakan permohonan kebenaran menurut Aturan 53 Kaedah 3(1)Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 untuk memfailkan permohonan kebenaran kehakiman terhadap RoS dan kerajaan berhubung kelulusan permohonan parti Putra.

Ibrahim mendakwa pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas mengenai status permohonannya selain mendakwa wujud ketidakpatuhan dalam SOP yang dikendalikan responden.