Keputusan kerajaan tidak ratifikasi ICERD tepat

Keputusan kerajaan tidak ratifikasi ICERD tepat

Keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) adalah tepat, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Beliau berkata, baik kerajaan pusat mahukan kerajaan negeri ini, Perlembagaan Persekutuan adalah perkara yang sentiasa dipegang malah tiada isu bahawa selama ini berlaku pemindasan terhadap kaum lain.

“Kita sentiasa memberikan hak-hak kepada mereka (bukan bumiputera) sebagai rakyat Malaysia cuma kepentingan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera juga perlu dijaga dan sudah termaktub dalam perlembagaan sewaktu merdeka dahulu. Jadi isu seperti ini sepatutnya tidak ditimbulkan di negara ini.

“Bila kita cakap berlapik masih lagi orang tak faham. Jadi baik kita terus terang keluarkan kenyataan bahawa tidak ada keperluan pun untuk kerajaan meratifikasikan ICERD tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang 2018 Sekolah Kebangsaan Sikamat di sini, hari ini.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menyatakan bahawa kerajaan tidak meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub perkara mengenai kontrak sosial yang dipersetujui oleh perwakilan dari semua kaum semasa pembentukan negara.

Mengenai perhimpunan membantah ICERD yang dijadualkan berlangsung 8 Dis ini, Aminuddin berkata ia merupakan hak mereka namun perlu mengikuti undang-undang termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Dahulu pun sebelum (kita) menjadi kerajaan, kita pernah berdemonstrasi walaupun dihalang. Tiada masalah untuk mereka tetap meneruskan perhimpunan bantahan ICERD. Jadi mereka berhak berdemonstrasi mengikut ketepatan undang-undang sedia ada,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dipetik sebagai berkata sebarang bentuk perhimpunan membantah ICERD tidak perlu diadakan susulan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan meratifikasikannya.

Muhyiddin berkata sebarang tindakan untuk meneruskan perhimpunan itu adalah tidak munasabah.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aminuddin menasihatkan kepada mana-mana penganjur di negeri ini agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan nama dan gambarnya untuk mempromosikan majlis atau acara mereka untuk menarik perhatian ramai.

“Ada orang ambil kesempatan menggunakan nama dan gambar saya. Jadi saya meminta pihak penganjur meminta izin dan mengesahkan kehadiran saya terlebih dahulu,” katanya merujuk kepada Program Perpaduan Dalam Kepelbagaian anjuran Sathya Sai International Organisation of Malaysia seperti yang tular menerusi media sosial yang menggunakan namanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Aminuddin menyampaikan 13 Anugerah Khas kepada pelajar sekolah berkenaan selain mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM20,000 bagi program-program kecemerlangan dan pembangunan SK Sikamat.