Secara tiba-tiba, kata- kata “national embarrassment” atau “keaiban negara” menjadi begitu popular.
Amat malang untuk mantan Perdana Menteri Najib Abdul Razak, kerana dia harus menanggung bebanan label atau frasa memeritkan tersebut sepanjang hidup dia.
Dia hanya perlu salahkan diri sendiri kerana skandal mega 1MDB dia itulah yang hakikatnya menyumbang kepada kemunculan label negatif tersebut.
Pasukan peguam Najib yang diketuai oleh peguam yang “mesra mikrofon” iaitu Muhammad Shafee Abdullah tidak begitu gembira dengan kata-kata yang keras dari mahkamah itu.
Shafee berpendapat kata- kata tersebut adalah tidak perlu dan tidak wajar digunakan.
Sebagai permulaaan, mari kita cuba semak secara adil susur galur kemumculan kata-kata itu. Untuk berlaku adil kepada mahkamah, seseorang mungkin harus bertanya “adakah kata-kata itu muncul begitu sahaja tanpa bersebab?’
Jika kita membaca alasan ringkas penghakiman Mahkamah Rayuan, melalui analisa yang adil kepada penghakiman itu, saya percaya, ia akan membawa kita kepada kesimpulan ini: kata-kata tersebut memang boleh dijustifikasikan dan hakikatnya ia menggambarkan gambaran buruk skandal mega 1MDB.
Jika kita ikhlas berhajat bagi mencari siapakah yang wajar dipersalahkan atas kewujudan frasa tersebut, ia berpotensi besar akan membawa kita kepada pasukan peguam Najib itu sendiri.
Sebagaimana yang kita mungkin sedar, salah satu pembelaan yang Najib bangkitkan dalam kes itu adalah pembelaan kepentingan negara (national interest).
Isu pembelaan ini disentuh oleh Mahkamah Rayuan di perenggan 74-77 di alasan ringkas penghakiman. Secara mudahnya, mahkamah menolak terus pembelaan rapuh dan tidak bermerit itu.
Agak menarik untut dicatat di sini, dalam menawarkan pembelaan tersebut, Najib nampaknya agak terlalu bergantung kepada keterangan mantan peguam negara, Apandi Ali, keterangan mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Zulkifli Ahmad dan keterangan mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Ketiga-tiga mereka telah dipanggil oleh Najib sebagai saksi beliau.
Ketika menolak pembelaan lemah tersebut, Mahkamah Rayuan bersetuju dengan alasan yang diberikan oleh hakim Mahkamah Tinggi yang menyatakan bahawa keterangan ketiga-tiga saksi itu tidak boleh sama sekali menggantikan bukti-bukti sekukuh waja yang dikemukakan oleh pihak pendakwa.
Melalui pembelaan membingungkan itu, Najib kelihatannya cuba berhujah bahawa jika pun ada kesilapan dalam mengurus dana SRC ianya tidak disengajakan, tiada mala fide di pihaknya dan segala yang berlaku adalah hanya didorong oleh pertimbangan kepentingan negara semata-mata.
Oleh itu, bagi Najib, tiada niat jenayah yang sepatutnya dikaitkan dengan usaha yang suci murni itu.
Meskipun para peguam Najib mempunyai hak untuk menerokai sagala pembelaan yang mereka fikirkan wajar bagi pihak Najib bagi membebaskannya dari tujuh pertuduhan yang menghantuinya seperti orang putih kata “like a sword of Damocles” yang terjuntai di atas kepala, mereka juga, pada masa yang sama seharusnya sedar kesan membangkitkan pembelaan itu sekiranya pembelaan itu ditolak oleh para hakim.
Tidak perlu dikatakan lagi, skandal mega 1MDB tidak syak lagi, dengan tidak sewajarnya, telah meletakkan nama Malaysia pada cahaya yang amat buruk.
Satu perkara yang Najib seharusnya sedar dan peka adala pembelaan kepentingan negara itu terlalu rapuh dan membangkitkannya berpotensi menimbulkan bukan saja kemarahan tetapi juga rasa meluat dan memualkan mahkamah.
Sebab itu mahkamah, kita dapat lihat bukan sekadar menolak pembelaan itu malahan mengatakan ianya adalah satu keaiban negara.
Frasa “national embarrassment” itu ibarat dalam ilmu nahu arab, bersifat “taukid” -penegasan kepada penolakkan pembelaan itu!
Lagipun, kepentingan negara apa yang Najib cuba tonjolkan apabila pembelaan itu lebih mempamerkan terlalu banyak kekalutan dan penyelewengan skandal 1MDB selain dilihat lebih kepada usaha memperkayakan lagi Najib dan para kuncunya.
Kesimpulannya, frasa “national embarrassment” yang diungkapkam oleh hakim itu, pada hemat saya, adalah adil, munasabah dan sesuai dengan konteks pembicaran.
Oleh itu, tidak keterlaluan untuk dinyatakan di sini, ketika mana kata-kata itu dugunakan, mahkamah berkemungkinan besar ingin menyampaikan mesej ini – Wahai Najib, anda patut kena ada rasa MALU!