Malaysia Dateline

Keputusan Kes SRC, kemenangan buat rakyat, kata Majlis Presiden PH

Majlis Presiden Pakatan Harapan menganggap, keputusan Mahkamah yang mendapati Datuk Seri Najib Razak bersalah dalam pertuduhan membabitkan dana RM42 juta milik SRC International, adalah satu kemenangan besar buat rakyat Malaysia.

PH berkata, proses pengadilan itu pasti tidak akan bermula sekiranya rakyat tidak bangkit untuk memberi kemenangan kepada PH dan mengalahkan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Malah menurut PH, masalah urus tadbir 1MDB telah dibangkitkan kali pertama di Parlimen oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2011.

“Majlis Presiden merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam proses ini, termasuk mantan Peguam Negara yang telah memulakan proses perundangan ini.

“Majlis Presiden berpendirian bahawa reformasi institusi menyeluruh perlu dilaksana untuk memastikan iklim politik yang memungkinkan kebobrokan dan kerosakan besar yang berlaku pada zaman pentadbiran BN tidak berulang lagi.

“Ini hanya boleh dilakukan dengan pengembalian mandat rakyat ke tempatnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara AMANAH, Mohamad Sabu; PKR, Anwar Ibrahim; dan DAP, Lim Guan Eng.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini memutuskan Najib bersalah atas kesemua tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan, dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.‬

Najib, 67, berdepan tiga dakwaan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Beliau didapati bersalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang antara lain boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

“Kesimpulannya, dalam penghakiman saya, setelah mempertimbangkan semua bukti yang dikemukakan di mahkamah ini, saya dapati pihak pembelaan tidak berjaya membantah anggapan mengenai keseimbangan kemungkinan atau menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan terhadap tertuduh di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009,” kata Mohd Nazlan.