Keputusan kes Tian Chua sebut perkataan aib kepada polis 13 Februari

Keputusan kes Tian Chua sebut perkataan aib kepada polis 13 Februari

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini menetapkan 13 Februari depan bagi mendengar keputusan terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua yang didakwa menyebut perkataan mengaibkan kepada seorang pegawai polis, tiga tahun lepas.

Hakim Yasmin Abdul Razak menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pembelaan.

Terdahulu, peguam Latheefa Koya yang mewakili Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 54, memohon mahkamah melepaskan dan membebaskan anak guamnya dari pertuduhan itu berdasarkan beberapa faktor.

Beliau berkata ini kerana kata-kata yang diungkapkan tertuduh, seperti yang terkandung dalam pertuduhan, tidak menepati elemen Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Latheefa berhujah bahawa kata-kata itu juga tidak menyebabkan mangsa terkesan secara mental dan emosional.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim memohon mahkamah mensabitkan Tian Chua dengan pertuduhan itu kerana kata-kata yang diucapkan tertuduh jelas menjatuhkan maruah seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas.

“Malah, pada sesiapa sahaja termasuk saya sendiri akan terguris (jika diungkapkan perkataan mengaibkan),” katanya.

Pada 12 Ogos 2014, Tian Chua yang juga Anggota Parlimen Batu, mengaku tidak bersalah menyebut perkataan mengaibkan kepada pegawai polis Petaling Jaya DSP Glenn A. Sinappah bagi mengaibkan kehormatannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pintu utama lobi Hotel Armada pada 7.45 malam 14 April 2014 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lima saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.

TAGS